JUMLAH rakyat Malaysia yang telah mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 masih terlalu rendah.
Di Malaysia, dos penggalak adalah disyorkan namun tidak diwajibkan bagi kumpulan berisiko tinggi seperti barisan hadapan, individu berumur 40 tahun ke atas atau mereka yang mempunyai penyakit sedia ada seperti diabetes.
Setiap hari lebih banyak bukti klinikal dan data dunia menunjukkan bahawa dos penggalak diperlukan untuk perlindungan berterusan terhadap Covid-19.
Bilangan negara yang menggunakan dos penggalak juga semakin meningkat.
Justeru, kerajaan mesti melakukan apa sahaja bagi menggalakkan, mendidik, memberi motivasi, memujuk dan memberi insentif lain kepada orang ramai untuk mengambil dos penggalak.
Menurut Pakar Polisi Kesihatan dan Kesihatan Global, Dr Khor Swee Kheng, terdapat tiga mitos utama berhubung dos penggalak.
Mitos 1: Dua dos sudah memadai
Malangnya, dua dos vaksin tidak mencukupi. Ini dibuktikan melalui banyak kajian yang menunjukkan bahawa perlindungan seseorang individu terhadap Covid-19 adalah berkurangan dari semasa ke semasa. (ini juga disebut sebagai imuniti berkurangan).
Kajian ini mengambil kira tiga perkara utama termasuk umur, ketahanan sistem imun dan jenis vaksin yang diterima.
Pertama, kajian menunjukkan bahawa tahap antibodi seseorang menjadi lebih rendah selepas tiga hingga sembilan bulan.
Kedua, kajian juga menunjukkan bahawa risiko individu yang divaksinasi sepenuhnya untuk dijangkiti Covid-19 kian meningkat, selepas mereka melengkapkan vaksinasi.
Ketiga, kajian turut membuktikan bahawa dos penggalak memberi antibodi seseorang kembali ke tahap tinggi dan mengurangkan risiko sebenar untuk mendapat jangkitan.
Pencarian dalam internet bagi 'data klinikal untuk dos penggalak' menemukan 37 juta hasil, manakala 'data dunia sebenar untuk dos penggalak' menemukan 144 juta hasil.
Dengan jumlah hasil pencarian itu, mengapa orang ramai masih percaya bahawa dua dos vaksin sudah mencukupi? Hal ini mungkin kerana jangkaan yang tidak sepadan.
Jangkaan tidak sepadan berlaku, yang mana sebahagiannya di luar kawalan kerajaan, seperti keinginan kuat seseorang individu untuk mengambil dua dos vaksin dan kemudia bertanya: "Bila saya boleh kembali ke kehidupan normal?".
Pada masa sama, kerajaan juga menyumbang kepada jangkaan tidak sepadan secara tidak sengaja, seperti kempen pendidikan awal yang pada dasarnya menjanjikan "Kita boleh kembali normal selepas X% orang diberi vaksin".
Ini boleh menyebabkan rasa tidak puas hati atau menyebabkan rakyat biasa berasa seperti tiang gol telah bergerak dan sasaran terus berubah.
Tetapi sebenarnya tiang gol tidak bergerak, cuma jangkaan kita yang perlu diubah.
Dengan erti kata lain, kita tidak boleh mengharapkan vaksin Covid-19 sebagai vaksin ajaib yang sempurna dengan perlindungan jangka panjang 100% selepas dua dos.
Pertama, hampir setiap vaksin lain memerlukan tiga dos seperti Hepatitis B, difteria atau polio.
Kedua, sistem imun badan kita secara amnya berfungsi lebih baik dengan lebih banyak pencetus, bukan kurang.
Atas sebab ini, dos penggalak bukan sahaja berkesan dan selamat, tetapi ia mengikut sains sistem imun kita dan vaksin lain.
Mitos 2: Kerajaan menceroboh kebebasan anda sekali lagi.
Untuk memahami mitos ini, kita perlu mengkaji strategi kumpulan anti-vaxxer.
Pada mulanya, strategi mereka adalah dengan mendakwa bahawa vaksin itu tidak selamat.
Strategi itu terbukti salah kerana kesan sampingan vaksin sangat jarang berlaku, sebaliknya kebaikannya sangat besar, terutamanya selepas lebih daripada empat bilion orang telah diberi vaksin.
Hampir semua orang kini percaya bahawa vaksin adalah selamat dan manfaatnya melebihi risiko.
Sekarang strategi pertama mereka gagal, anti-vaxxer pada asasnya mengalihkan strategi mereka kepada 'kerajaan menceroboh kebebasan peribadi anda'
Bahasa anti-vaxxer telah berubah daripada memfokuskan pada keselamatan peribadi kepada memberi tumpuan kepada kebebasan peribadi, malah menggunakan bahasa hak asasi manusia untuk menyembunyikan agenda jahat mereka.
Strategi membuktikan bahawa vaksin Covid-19 tidak selamat adalah salah. — The Star
Ini sangat tidak bertanggungjawab, tidak beretika, tidak bermoral dan mungkin juga menyalahi undang-undang.
Mitos ini berbahaya kepada diri sendiri dan keluarga anda, selain tidak bertanggungjawab terhadap rakyat Malaysia.
Mitos ini meminta kita mengabaikan tanggungjawab asasi untuk menjaga kesihatan kita sendiri, kesihatan keluarga serta kesihatan sesama warganegara kita.
Kita boleh belajar tentang bahaya anti-vaxxer daripada Jerman.
Kumpulan berhaluan kanan (penyokong vaksin) telah menyusup masuk ke dalam kumpulan anti-vaxxer (yang sebelum ini merupakan kumpulan terpinggir), dengan kumpulan nasionalis atau supremasi menghadiri perhimpunan anti-vaxxer.
AfD, sebuah parti politik sayap kanan telah berkempen dalam agenda anti-vax bagi pilihan raya umum pada 26 September 2021.
Ini telah menyumbang kepada 87 peratus warga emas Jerman dalam rawatan rapi tidak divaksinasi.
Negara lain yang mempunyai retorik serupa "pencerobohan kerajaan ke dalam kebebasan anda" ialah Austria.
Parti Kebebasan sayap kanan dan neo-Nazi juga telah menyusup masuk ke dalam gerakan anti-vaxxer, sebahagiannya membawa kepada lonjakan pesakit yang dimasukkan ke hospital sejak September 2021.
Sebagai tindak balas, kerajaan Austria pada 19 November 2021 mengumumkan bahawa vaksinasi akan diwajibkan mulai Februari 2022.
Malaysia bernasib baik apabila ahli politik dan parti politik tidak terpengaruh dengan kumpulan anti-vaxxer.
Tetapi kita tidak boleh leka dan kerajaan mesti terus meyakinkan penduduk bahawa ini bukan pencerobohan kerajaan, tetapi langkah menyelamatkan nyawa.
Mitos 3: Ini adalah konspirasi untuk menghasilkan lebih banyak wang
Memang benar bahawa menjual lebih banyak vaksin akan membantu syarikat farmaseutikal menghasilkan lebih banyak wang.
Memang benar juga bahawa syarikat farmaseutikal mesti menurunkan harga sebanyak mungkin, perlu memberi bekalan vaksin ke negara miskin secara sama rata dan mesti berkongsi paten mereka supaya dapat meningkatkan pengeluaran vaksin global.
Memang benar juga bahawa kerajaan kita mesti menghapuskan rasuah, orang tengah yang tidak diperlukan dan mengelakkan pembaziran. Semua itu benar.
Namun, itu tidak bermakna terdapat konspirasi oleh syarikat farmaseutikal atau kerajaan untuk menghasilkan lebih banyak wang daripada dos penggalak.
Pertama, badan kita secara semula jadi memerlukan beberapa dos vaksin untuk mengekalkan perlindungan dan kita telah mengetahuinya selama beberapa dekad.
Kedua, data dunia sebenar daripada program dos penggalak Covid-19 menunjukkan bahawa ia perlu untuk perlindungan jangka panjang.
Dan akhirnya, tiada organisasi yang cekap atau cukup besar untuk menyelaraskan konspirasi vaksin global dan merahsiakannya selama dua tahun.
Hakikatnya, sistem imun kita cuma perlukan dos penggalak.
Kita mungkin bertanya, adakah kita memerlukan dos penggalak Pusingan 2 atau Pusingan 3?
Adakah kita memerlukan penggalak setiap enam bulan?
Sains masih belum dapat menjawab soalan ini, itulah sebabnya beberapa bentuk ujian (seperti tahap antibodi) mungkin diperlukan untuk menentukan bila dan siapa yang memerlukan dos penggalak secara berulang.
Malaysia memerlukan dos penggalak
Kebanyakan kawasan di Malaysia kini berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional (PPN).
Kita membuka sempadan ke Singapura melalui Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).
Di Asia Tenggara, Thailand, Singapura dan Indonesia dibuka semula pada pelbagai kelajuan.
Dalam masa empat hingga enam bulan, mungkin terdapat keperluan untuk menunjukkan status dos penggalak (bukannya status pemvaksinan) bagi perjalanan domestik atau antarabangsa.
Mungkin itu boleh menjadi pendorong terbesar untuk kita mendapat dos penggalak.
Sementara itu, sila dapatkan suntikan dos penggalak anda apabila ia ditetapkan dalam jadual anda.
Dua dos tidak mencukupi, kerajaan tidak menceroboh kebebasan anda dengan mengesyorkan vaksin, ia bukan konspirasi, dan bukti untuk dos penggalak adalah kukuh. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram