Tiket penerbangan makin mahal, rakyat pilih destinasi lokal


  • Massa
  • Isnin, 02 Jan 2023

Ala Nur (berdiri, lima dari kanan) bersama rakan-rakan semasa lawatan mereka ke Da Nang, Vietnam pada Julai 2022. — Ala Nur

LEBIH ramai rakyat Malaysia dijangka memilih untuk bercuti di dalam negara ekoran daripada tambang penerbangan ke destinasi luar negara meningkat dua kali ganda atau tiga kali ganda dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Pengerusi Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Johor, K. Subramaniam berkata, baru-baru ini Kundasang di Sabah adalah pilihan popular untuk pelancong tempatan.

“Maklum balas daripada ahli kami menunjukkan bahawa kira-kira 70 peratus pelancong yang memilih Sabah mahu Kundasang berada dalam jadual perjalanan mereka,’’ katanya ketika dihubungi.

Subramaniam berkata, cuaca menjadi tarikan utama pelancong dari luar Sabah untuk melawat Kundasang yang terletak di daerah Ranau.

"Lanskap pergunungan Kundasang yang kelihatan seperti New Zealand juga merupakan satu lagi tarikan utama,'' tambahnya.

Tarikan popular di sana termasuk Desa Dairy Farm, Bukit Sosodiko, Memorial Perang Kundasang, Pasar Nablu dan Pasar Kundasang.

Subramaniam berkata, purata pakej pelancongan ke Kundasang dan tiket penerbangan 4H/3M atau 5H/4M adalah di bawah RM2,000 seorang termasuk penginapan dan makan.

"Bagi percutian luar negara pada 2023, Bali dan Bandung (Indonesia), Bangkok, Chiang Mai, Hat Yai dan Songkhla (Thailand) kekal popular di kalangan rakyat Malaysia," katanya.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Johor Chapter, Ivan Teo berkata, Pelancongan Johor perlu memulakan kempen untuk menarik pengunjung dari negeri di utara melawat Johor.

“Terdapat banyak tempat menarik yang belum diterokai di Johor yang perlu dipromosikan,” katanya.

“Selama ini, kami bergantung kepada rakyat Singapura kerana barangan di Johor Bahru lebih murah untuk mereka, tetapi kami juga perlu meluaskan pasaran kami dengan menarik rakyat Malaysia dari negeri lain untuk melawat Johor,” tambahnya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Ala Nur Jalila Taslim merancang untuk pergi ke Yogyakarta, Indonesia pada penghujung Januari, yang merupakan percutian pertamanya ke luar negara pada tahun ini.

“Kami sedang mencari tawaran terbaik daripada mana-mana syarikat penerbangan yang terbang dari Kuala Lumpur ke bandar raya Indonesia,” katanya kepada StarMetro.

Menurut Ala Nur, secara purata harga tiket pergi balik dari Kuala Lumpur ke Yogyakarta antara RM400 dan RM500 namun sudah mencecah RM700.

“Kami pernah ke Yogyakarta sebelum ini tetapi (harga) tiket tidak setinggi sekarang,” katanya.

Ala Nur juga merancang untuk bercuti ke luar negara bersama rakannya tahun ini.

"Sejak Malaysia membuka sempadan antarabangsanya pada 1 Mei lalu, kami melancong ke Da Nang dan Ho Chi Minh City yang terletak di Vietnam dan Hat Yai dan Bangkok di Thailand.

“Kami akan menangguhkan perjalanan kami ke Eropah, Australia dan New Zealand sehingga harga tiket penerbangan turun,” katanya. —The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram