[VIDEO] Atuk nak tunjuk skil 'dive' temui ajal lepas kepala terhentak batu dasar sungai


  • Benua
  • Selasa, 02 Jan 2024

Tangkap layar video memaparkan Antonio yang tidak sedarkan diri selepas kepalanya terkena batu ketika membuat terjunan di dasar sungai di Brazil pada 25 Disember 2023.

PERCUTIAN bertukar tragedi selepas seorang lelaki warga emas maut ketika mahu menyelam di dasar sungai yang terletak di Capao da Onca, Ponta Grossa, Brazil pada 25 Disember 2023.

Mangsa yang bernama Antonio de Souza Reboucas Filho, 59, dilaporkan tidak sedarkan diri selepas tersilap langkah ketika mahu terjun ke dalam air.

Ketika kejadian, mangsa dan keluarga dikatakan sedang menikmati percutian mereka di sebuah resort berhampiran.

Menerusi video yang sempat dirakam oleh salah seorang ahli keluarga mangsa, Antonio ketika itu dilihat mahu menunjukkan kemahirannya menyelam sebelum kepalanya terhentak di atas batu yang terdapat dalam air di kawasan itu.

Dalam video sama, mangsa juga dilihat terjun bersama seorang kanak-kanak lelaki dipercayai cucunya.

Kejadian berlaku dikatakan kerana mangsa tidak sedar bahawa air di kawasan itu cetek dan dipenuhi batu.

Pada masa sama, orang ramai di sekitar lokasi kejadian dilaporkan membantu mangsa dan segera mendapatkan perkhidmatan kecemasan daripada Jabatan Bomba Siate sebelum dihantar ke hospital.

Bagaimanapun, Antonio yang juga ayah kepada tiga orang anak itu dilaporkan meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya di kepala itu.

Susulan tragedi malang itu, orang ramai turut dinasihati agar sentiasa berhati-hati ketika bermandi-manda atau menyelam di kawasan perairan.

Capao da Onca menjadi antara pusat tarikan ramai termasuk pelancong disebabkan pemandangannya yang cantik. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram