[VIDEO] Tragedi ambang tahun baharu, lelaki maut terkena letupan bunga api di Port Dickson


  • Tular
  • Isnin, 01 Jan 2024

Tangkap layar video kejadian seorang lelaki maut selepas terkena letupan bunga api di sebuah pusat peranginan terkenal dekat Port Dickson.

SEORANG lelaki maut manakala seorang lagi cedera akibat terkena serpihan bunga api yang meletup di bahagian bumbung bangunan tempat letak kenderaan sebuah hotel di Port Dickson, Negeri Sembilan pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan, Aidi Sham Mohamed berkata, dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah hari itu, mangsa berusia 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di muka manakala rakannya, 39, dihantar ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan.

"Kedua-dua mangsa merupakan pekerja syarikat pemasangan bunga api yang ditugaskan memasang bunga api untuk pertunjukan sempena malam Ambang Tahun Baru 2024 di hotel berkenaan.

"Siasatan sedang dijalankan untuk mengetahui punca kejadian dan kes diklasifikasikan sebagal mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sehubungan itu, Aidi Sham menyeru orang awam supaya tidak menularkan isu berkenaan kerana ia boleh mengganggu siasatan polis.

Pada masa sama, perkara tersebut turut disahkan oleh ahli keluarga mangsa yang meminta orang awam agar tidak menyebarkan gambar mangsa.

Baca Lagi: [VIDEO] Insiden bunga api meletup malam tahun baharu di Kedah, polis sahkan aktiviti tiada permit

"Minta maaf, saya keluarga kepada arwah. Minta tolong padam video dan gambar ini. Ini semua aib pada si arwah. Minta jasa baik," tulis @nrlsyzsyfqh.

Terdahulu, tular di media sosial sejak Isnin, sebuah rakaman video berdurasi 1.04 minit dan gambar memaparkan kejadian letupan beberapa das bunga api di hotel berkenaan.

Melalui rakaman video tersebut, kelihatan bunga api tersebut secara tiba-tiba meletup dan beberapa orang kakitangan hotel dilihat berlari menyelamatkan diri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram