Kes pelajar dilanggar mati di Ipoh: Tindak-tanduk suspek boleh digunakan bagi menilai niat membunuh


  • Massa
  • Selasa, 19 Dis 2023

Kejadian perlanggaran yang meragut nyawa Muhammad Zaharif itu berlaku di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, dalam daerah Kinta, Perak, pada Jumaat lalu.

PADA Jumaat lalu, negara dikejutkan dengan berita kematian seorang pelajar yang terlibat dalam kejadian perlanggaran membabitkan sebuah kereta di Ipoh, Perak.

Lebih memeranjatkan, kereta yang melanggar mangsa, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, dipandu oleh seorang individu yang merupakan seorang pegawai kanan polis.

Insiden tersebut ternyata menimbulkan kemarahan bukan sahaja terhadap keluarga mangsa yang sudah menyatakan pendirian untuk menuntut keadilan, tetapi juga masyarakat Malaysia rata-ratanya.

Susulan daripada itu, Jabatan Peguam Negara pada Ahad memaklumkan bahawa suspek yang terlibat dalam kes tersebut akan dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Ia selepas hasil siasatan dan keterangan yang dikemukakan dalam kertas siasatan mendapati bahawa terdapat keterangan yang mencukupi bagi suat kesalahan membunuh.

Proses pertuduhan terhadap suspek yang berpangkat Deputi Superintenden itu dijalankan pada Isnin di Mahkamah Majistret pada pagi Isnin.

IPOH, 16 Dis -- Ibu arwah kemalangan maut, Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, Mimi Julia ismail, 50  kelihatan sedih sambil menunjukkan gambar arwah anaknya di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa Chemor hari ini.Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam arwah Muhammad Zaharif Affendi maut akibat langgar lari oleh sebuah kereta berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati di Jalan Taman Meru dan dikatakan terseret sejauh lima meter..--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Ibu kepada Muhammad Zaharif, Mimi Julia ismail, 50 menunjukkan gambar arwah anaknya di kediaman keluarganya di Taman Chepor Sentosa Chemor, Ipoh, Perak.

Dalam kejadian 12.30 tengah hari semalam arwah Muhammad Zaharif Affendi maut akibat langgar lari oleh sebuah kereta berhampiran sekolah.

Mengikut kertas pertuduhan, suspek didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, di Jalan Taman Jati 1, berhampiran SMK Jati, dalam daerah Kinta, Perak, antara jam 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari 15 Disember lalu.

Kesalahan terbabit memperuntukkan hukuman mati, atau penjara minimum 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati hendaklah juga dihukum dengan tidak kurang daripada 12 sebatan.

Mahkamah pada Isnin turut menetapkan tarikh 7 Februari 2024 bagi proses sebutan kes.

Keputusan Pejabat Peguam Negara membuat pendakwaan di bawah Seksyen 302, Kanun Keseksaan sememangnya mendapat reaksi positif daripada warganet yang rata-ratanya menyokong langkah tersebut.

Malah, tindakan itu juga disifatkan sebagai langkah awal untuk menegakkan keadilan terutamanya bagi keluarga mangsa.

Bagaimanapun, terdapat warganet yang agak skeptikal dengan keupayaan pihak pendakwaan untuk menyabitkan suspek di bawah seksyen tersebut.

"Seksyen 302 sangat susah sebab kena tunjuk niat . Dalam kes lain 302 gagal sebab niat tidak dapat dibuktikan. Tetapi di Malaysia, bukti yang sama boleh digunakan untuk Akta lain.

"Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (kesalahan memandu melulu sehingga menyebabkan kematian) boleh digunakan dengan senang oleh Mahkamah kerana dia tahu ada ramai orang (kawasan sekolah dan juga hari Jumaat) dan dia tetap kejar mangsa dan kemudian gagal kawal kereta selepas mangsa berhenti.

"Kemungkinan keputusan yang akan diputuskan adalah, Seksyen 302 gagal, tetapi Akta 41 berjaya. Hukuman yang dikenakan adalah penjara lima tahun dan/atau 50,000," tulis seorang pengguna Facebook, Franco Kailsan di ruangan komen.

Mengulas mengenai hantaran tersebut, peguam jenayah, Ng Xin Ru mengakui bahawa Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 sememangnya lazim digunakan bagi kebanyakan insiden kemalangan yang menyebabkan kematian.

IPOH, 18 Dis -- Pegawai kanan polis Mohd Nazri Abdul Razak hari ini didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lepas.Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Nazri, 44, yang memasuki mahkamah sambil kepala ditutup dengan kain, berbaju putih dan berseluar hitam, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.Tertuduh yang berpangkat Deputi Superintendan (DSP), didakwa melakukan kesalahan membunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Jati di sini, antara 12.05 tengah hari hingga 12.40 tengah hari, 15 Dis.--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA

Suspek pada Isnin didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh seorang pelajar sekolah menengah, Jumaat lepas.

Namun, dalam kes melibatkan kematian Muhammad Zaharif, Seksyen 302 Kanun Keseksaan dilihat lebih sesuai dengan mengambil kira tindak-tanduk suspek.

Jelasnya, tindak-tanduk suspek merupakan faktor besar yang membolehkan pihak mahkamah memutuskan sama ada tindakan tersebut dilakukan dengan niat membunuh atau tidak.

"Kita nak tahu niat secara spesifk atau tidak, memang tak dapat nak tahu. Jadi apa yang kita boleh nilai adalah daripada tindak tanduk suspek.

"Sama ada tindakan yang dia buat itu sebenarnya untuk melakukan jenayah tersebut atau atau dia ada niat untuk membunuh atau pun tidak. Jadi, itu adalah salah satu elemen paling penting untuk kes membunuh," ujarnya.

Di dalam kes pada Jumaat lalu itu, Xin Ru berkata, berdasarkan laporan media yang memetik daripada saksi di tempat kejadian, terdapat beberapa perbuatan suspek dilihat boleh digunakan bagi menilai perkara tersebut.

"Pertama, suspek dilaporkan dia kejar mangsa dalam satu jarak yang agak jauh. Kedua, lepas motor itu sudah memperlahankan kelajuan, pemandu ini tetap melanggar mangsa sehingga terseret.

"Ketiga, ada dakwaan mengatakan pemandu cuba untuk 'reverse' dan melenyekkan mangsa. Jadi kalau kita kira dari segi tindak tanduk, ini mungkin boleh disifatkan bukan setakat kemalangan jalan raya yang terlanggar sehingga menyebabkan kematian.

"Ini mungkin memang ada tindak tanduk yang kelihatan ada niat untuk membunuh," ujarnya.

Dari segi pembuktian pula, Xin Ru berkata, dua bukti paling kukuh boleh digunakan ketika pembicaraan adalah dalam bentuk gambar dan video kejadian.

Bagaimanapun, kedua-dua bahan tersebut bukan satu-satunya kaedah pembuktian yang boleh digunakan bagi menyokong pendakwaan.

"Bukan kata bila tidak ada gambar atau video, kita tidak boleh nak buktikan. Kita boleh juga guna saksi mata berdasarkan keterangan mereka.

"Kalau mereka ada dekat tempat kejadian dan nampak apa yang berlaku, keterangan mereka dah cukup. Tapi kalau ada video dan gambar lagi bagus.

"Tapi kalau tiada pun keterangan mereka pun dah cukup," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram