IMPIAN Terengganu FC (TFC) untuk mara ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN bagi Piala AFC tidak kesampaian.
Walaupun berjaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Bali United FC pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak pada Rabu, TFC gagal menghasilkan jaringan besar untuk mengatasi kelab Kemboja, Phnom Penh Crown FC yang merupakan naib juara Kumpulan F untuk layak ke peringkat kalah mati.
Bagaimanapun, enggan terus dibelenggu kekecewaan, dua tonggak Sang Penyu, Jordan Mintah dan Adisak Kraisorn sempat mencuri tumpuan warga maya selepas satu video tular di media sosial.
Dalam video tersebut, kedua-dua tonggak TFC yang dilihat berbual menggunakan dialek Terengganu itu berjaya meraih perhatian warga maya.
Video berdurasi 37 minit itu memaparkan kedua-dua penyerang itu sedang menikmati makan malam dengan beberapa pilihan lauk tempatan dihidangkan.
Lebih menarik lagi, klip berkenaan memaparkan soalan ditanya kepada Mintah mengenai kelazatan makanan yang sedang dinikmatinya dan dia dengan tenang menjawab makanan tersebut sedap.
Soalan sama turut diajukan kepada Adisak yang juga cuba mengikut cara Mintah berbahasa Melayu, namun tanpa sengaja, Adisak menambah perkataan kurang menyenangkan di akhir ayatnya iaitu 'sedap bodoh' yang sepatutnya 'sedap doh'.
Dalam pada itu, rata-rata warga maya terhibur dengan gelagat anak buah Tomislav Steinbruckner itu.
"Tak pasal-pasal Adisak kena dengan Mintah ya," kata Mohd Zulkhairil.
"Confirm Mintah yang ajar Adisak tu, ada-ada ja player Ganu ni ya," kata Dinnie Norman.
"Jordan ni memang lawak, ada ja nak kenakan kawan dia eh," kata Sheikh Ahmad. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram