[VIDEO] 'Tak ada dah banjir sampai tenggelam kampung', projek spillway atasi masalah bah, air bertakung di Rantau Panjang


  • Massa
  • Ahad, 26 Nov 2023

Projek PLSB Sungai Golok di Rantau Panjang berjaya disiapkan pada pertengahan tahun 2023. — Facebook

PROJEK 'spillway' banjir yang disiapkan oleh Kerajaan Perpaduan pertengahan tahun 2023 berjaya menangani masalah banjir dan air bertakung di Rantau Panjang, Kelantan.

Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu bagi Sungai Golok (KESBAN) atau dikenali sebagai pembinaan 'spillway' itu siap tidak sampai enam bulan di bawah Kerajaan Perpaduan sekali gus memanfaatkan penduduk Kampung Tersang dan Kampung Terusan di Rantau Panjang.

Ini selepas, masalah banjir akibat limpahan Sungai Golok dapat diatasi yang menyaksikan air bah serta air bertakung dapat disalurkan dengan baik menerusi 10 binaan calvert atau struktur alor limpah berkeluasan lima kaki (1.52 meter) setiap satu.

Kejayaan pembinaan projek itu juga jelas menunjukkan kerajaan perpaduan di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasil menyelesaikan masalah penduduk di situ dengan pantas.

Sebelum ini, projek tersebut seakan-akan dipandang sepi semasa kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah negara apabila Menteri Alam Sekitar dan Air ketika itu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dikatakan gagal melaksanakannya.

Seorang penduduk tempatan menerusi rakaman sebuah video menunjukkan bahawa projek 'spillway' itu akan mengatasi masalah banjir buruk di Kampung Tersang dan Kampung Terusan yang pernah menyaksikan penduduk di situ 'terperangkap' dalam kejadian bah pada 2021.

"Harapkan kerajaan dulu semasa PAS jadi kerajaan pusat, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, saya pernah mohon minta belah laluan.

"Kalau ini dijawab Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff kata orang kampung sanggup bayarkah RM500,000," katanya.

"Inilah hasil kerjasama dengan Kerajaan Madani buat laluan belah benteng di bawah Kampung Pengkalan Teluk membina empangan untuk mengelakkan air bertakung sekali gus menghindari daripada banjir besar seperti dahulu.

"Tak mau dah banjir ini sampai tenggelam kampung. Inilah hasil daripada kerajaan yang bertanggungjawab. Hasil daripada kerajaan yang tidak menyusahkan rakyat," katanya lagi.

Sehubungan itu, sebagai penduduk tempatan, dia memohon kerjasama khususnya daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Gual Periok, Datuk Mohamad Awang bersama-sama Siti Zailah untuk melihat kejayaan hasil pembinaan 'spillway' itu.

"Kenapa zaman Tuan Ibrahim tidak boleh buat? Sedangkan ketika Kerajaan Madani saya pergi ke Putrajaya pada bulan Disember lalu dan berjumpa sendiri dengan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Nik Nazmi berjanji akan melawat kawasan pada Januari dan seperti yang dijanjikan projek tersebut diluluskan pada Februari tahun ini. Inilah hasilnya," katanya sambil menunjukkan 10 calvert yang telah dibina.

Lelaki berkenaan turut meminta pengundi di Rantau Panjang membuka mata untuk menyokong kerajaan yang boleh menyelesaikan isu rakyat.

Untuk makluman, objektif utama pembinaan 'spillway' adalah untuk mengurangkan masalah banjir di kawasan yang berdekatan Sungai Golok di Tumpat dan sebahagian Pasir Mas.

Pada masa sama, ia dibina bagi meningkatkan keselamatan dan kedaulatan negara dengan pembinaan infrastruktur tebatan banjir serta mendalamkan muara Sungai Golok bagi penambahbaikan laluan bot dan perlindungan muara Sungai Golok daripada risiko banjir pantai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram