[VIDEO] Lapan budak sekolah terpelanting angkara pemandu tuk tuk 'kejar trip'


  • Benua
  • Khamis, 23 Nov 2023

Tangkap layar kemalangan sebuah lori merempuh sebuah tuk tuk sehingga menyebabkan seorang pelajar cedera parah di India. — Agensi

LAPAN murid sekolah cedera termasuk seorang parah selepas kenderaan awam (tuk tuk) yang mereka naiki dirempuh sebuah lori di India pada Rabu.

Memetik laporan media antarabangsa ndtv.com, kemalangan yang berlaku di wilayah Andhra Pradesh Visakhapatnam, India pada pukul 7 pagi itu turut berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) premis berhampiran.

Difahamkan, kemalangan tersebut berpunca daripada kecuaian pemandu tuk tuk berkenaan yang memandu secara berbahaya dan ingin 'kejar trip'.

Ketika berada di sebuah persimpangan lampu isyarat, pemandu tuk tuk tersebut dilihat memecut laju sebelum kenderaan tersebut tiba-tiba dirempuh sebuah lori.

Impak daripada rempuhan lori tersebut menyebabkan kesemua murid terbabit terpelanting daripada kenderaan awam roda tiga itu.

Kesemua mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Bethany kemudiannya dikejarkan ke hospital berhampiran oleh orang awam.

Difahamkan, seorang daripada pelajar tersebut kini sedang berada di unit rawatan rapi (ICU) setelah mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.

Polis tempatan, Srinivasa Rao berkata, kedua-dua pemandu tersebut kini berada dalam tahanan polis dan punca sebenar kejadian masih disiasat. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram