[VIDEO] Magis Kim Pan-gon bakal pecahkan rekod buruk di Taiwan?


  • Podium
  • Ahad, 19 Nov 2023

Rekod perlawanan di antara Malaysia dan Chinese Taipei sejak 1963. — HarimauMYstats

SELEPAS kemenangan menakjubkan ketika menewaskan Republik Kyrgyz dengan keputusan 4-3 di stadium keramat Harimau Malaya pada Khamis, pastinya perlawanan kedua menentang Chinese Taipei di hadapan ribuan penyokong lawan sesuatu perkara yang tidak mudah buat anak-anak buah Kim Pan-gon.

Ini kerana dalam 12 perlawanan terakhir Harimau Malaya menentang Chinese Taipei, skuad kebangsaan tewas ke semua perlawanan setiap kali bertandang ke stadium lawan.

Malah, berdasarkan rekod pertemuan dalam lima aksi terakhir sejak 2000, Taiwan kebal di gelanggang sendiri apabila memenangi tiga perlawanan termasuk pertembungan terakhir pada 2018 sementara tewas dua kali ketika berkunjung ke Malaysia.

Pada 2018, skuad negara gagal merekodkan sebarang jaringan apabila tewas dengan keputusan 0-2 meskipun dibarisi pemain-pemain bintang seperti Mohd Aidil Zafuan, Muhd Nazmi Faiz dan ramai lagi.

Namun jika dilihat ranking semasa pasukan serta perbezaan kekuatan pemain yang ada, pastinya ia akan memberikan sedikit tekanan buat skuad kebangsaan memadam rekod malang di bumi Taiwan.

Tetapi dalam 12 perlawanan terakhir Harimau Malaya, rekod positif masih berpihak kepada skuad kebangsaan apabila mencatatkan enam kemenangan dan empat keputusan seri.

Kemenangan terbesar Harimau Malaya ialah pada 1964 di Kuala Lumpur dengan merekodkan keputusan 5-2 hasil jaringan hatrik Quah Kim Swee serta sumbangan satu gol daripada Kuppan Munlandy dan Thanabalan Nadarajah.

Kekalahan terbesar Harimau Malaya pada 2018 dengan keputusan 0-2 di Taipei apabila tidak merekodkan sebarang jaringan gol.

Dalam pada itu, penyokong Harimau Malaya yang juga pemain ke-12 percaya dengan kemampuan serta magis yang akan dibawa oleh Pan-gon ke Taipei bagi meraih mata maksimum sekali gus mencatatkan kemenangan berganda dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Selasa nanti.

"Tiga pemain masih ada dalam skuad 2018, Chinese Taipei pun rata-ratanya muka sama. Harap Harimau Malaya mampu memadamkan rekod buruk di Taiwan," kata AJ Palatao.

"Harimau Malaya ada rekod buruk juga di Taiwan, harap Pan-gon dapat tewaskan mereka," luah Key Chick.

"Jaringan sepakan percuma Aidil Zafuan dari jarak jauh akan sentiasa diingati, insya-ALLAH boleh menang," jelas Hadi Man.

Jika skuad kebangsaan berjaya menewaskan Chinese Taipei, ia akan memberikan mata FIFA yang tinggi buat Harimau Malaya sekali gus berjaya melonjak kedudukan ranking semasa negara untuk berada dalam kelompok 130 terbaik dunia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram