'Comeback is real', Faisal Halim bikin Bukit Jalil bergema, Arif Aiman MOTM


  • Podium
  • Khamis, 16 Nov 2023

Harimau Malaya tampil membuat kebangkitan semula dengan menundukkan pasukan dari Asia Tengah itu. — Shah Amirul

HARIMAU Malaya meraih tiga mata penting dalam aksi pembukaan Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 setelah menundukkan Kyrgyzstan di laman sendiri dengan keputusan 4-3.

Keputusan berkenaan pastinya cukup diraikan memandangkan skuad kebangsaan pada satu ketika ketinggalan dengan dua gol dalam perlawanan terbabit.

Pujian sememangnya harus diberikan kepada Dion Cools yang tampil menjaringkan dua gol dengan kedua-duanya hadir daripada sepakan penjuru.

Tidak cukup dengan itu, tonggak utama negara, Faisal Halim turut memainkan peranan penting apabila tampil menjaringkan gol penting pada masa kecederaan.

Namun, tumpuan juga seharusnya diberikan terhadap pemain sayap, Arif Aiman Hanapi yang muncul dengan aksi cemerlang menerusi empat bantuan jaringan, termasuk ketika pemain Kyrgyzstan, Khristiyan Brauzman menjaringkan gol sendiri pada minit ke-72.

400596188_1045332349873334_4793312533088261836_n

Arif Aiman memainkan peranan penting dengan mencipta empat bantuan jaringan. Facebook/FAM

Sumbangannya itu menyaksikan rata-rata peminat setia Harimau Malaya mengangkat namanya sebagai pemain terbaik dalam merealisasikan impian negara untuk mengutip tiga mata penuh.

"Alhamdulillah, terbaik Arif Aiman kerana kesemua gol negara berpunca daripada dia," puji Ummi Shah.

"Empat gol hasil daripada sentuhan Arif Aiman, memang padu. Alhamdulillah kemenangan milik Malaysia," kata Fahmi Yusoff.

"Tahniah buat kesemua pemain, terutamanya Arif yang mencipta keempat-empat jaringan negara. Harapnya boleh teruskan momentum negara ni," kata Zam Hairi.

Skuad kebangsaan bakal berdepan Chinese Taipei di tempat lawan pada 21 November dengan kemenangan akan mengukuhkan lagi kedudukan mereka dalam kempen kelayakan ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram