MESKIPUN memulakan musim dengan agak perlahan, Terengganu FC boleh dianggap sebagai salah sebuah pasukan Liga Super terbaik ketika ini.
Kejayaan untuk menempah slot ke pentas akhir Piala Malaysia menjadi bukti bahawa resipi yang diterapkan ketua jurulatih, Tomislav Steinbruckner kian menjadi.
Tidak cukup dengan itu, prestasi membanggakan turut dipamerkan skuad Sang Penyu dalam saingan Piala AFC dengan mereka kini berada di tangga kedua Kumpulan G selepas empat perlawanan.
Sekiranya rekod cemerlang tersebut diteruskan, tiada penghalang untuk kelab Pantai Timur itu mencatatkan sejarah tersendiri dalam pertandingan peringkat Asia tersebut.
Kejayaan berkenaan pastinya akan membuka ruang lebih luas buat pihak pengurusan Terengganu FC menambah baik kualiti skuad untuk musim akan datang.

Tomislav pernah berdepan isu kekurangan pemain di posisi penting skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Meskipun tidak dapat menempah slot ke pentas Asia, keputusan untuk terus memperbaiki kelemahan pasukan akan memberi peluang buat mereka meraih lebih banyak pencapaian domestik.
Ketika ini, kelemahan ketara skuad Sang Penyu adalah mengenai kekurangan pilihan buat Tomislav dengan kecederaan dialami tonggak utama akan melemahkan pasukan.
Situasi berkenaan kerap membelenggu jurulatih kelahiran Croatia tersebut, lebih-lebih lagi di posisi penyerang sayap dengan peranan tersebut kerap dipikul Sony Norde dan Nor Hakim Hassan.
Walaupun terdapat beberapa pemain muda yang dapat diturunkan, impak masing-masing boleh dikatakan masih belum meyakinkan seperti mana disaksikan sepanjang musim.
Jadi, untuk memperbaiki masalah tersebut, penyokong Terengganu FC menerusi akaun Facebook TFC Data Hub memberi saranan buat kelab itu mendapatkan seorang daripada dua pemain import, Raphael Lea'i atau Yair Castro.

Raphael (10) menjaringkan gol ketika Kepulauan Solomon berdepan Harimau Malaya Jun lalu. — Facebook/FAM
Bagi peminat bola sepak tanah air, mereka pastinya tidak dapat melupakan nama Raphael yang beraksi ketika aksi persahabatan Harimau Malaya menentang Kepulauan Solomon pada 14 Jun lalu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.
Dia yang menjaringkan gol dalam perlawanan berkenaan mencuri perhatian ramai dengan kebolehan untuk menggelecek bola serta melakukan hantaran menakjubkan.
Sumbangannya itu menjadi asbab buat penyokong Terengganu FC tersebut untuk terus menaikkan namanya sebagai salah seorang calon untuk dibawa masuk pada jendela perpindahan akan datang.
"Anda ingat tak lagi penjaring gol ketika Kepulauan Solomon lawan Malaysia. Ketinggian 160 sentimeter (cm) dengan kebolehan menggunakan kedua-dua belah kaki. Kepantasan dan menggelecek bola jadi kebolehan utamanya.
"Dia baru sahaja berusia 20 tahun. Antara wonderkid dari benua Oceania. Sekarang ni tidak terikat dengan mana-mana pasukan, elok juga bermain dengan Terengganu FC II ni," katanya.

Bakat Castro (depan) boleh terus diperkembangkan untuk kegunaan pada masa akan datang. — Agensi
Kelab terakhir yang diwakili Raphael merupakan pasukan di Liga Perdana Bosnia & Herzegovina, Velez Mostar yang ditinggalkannya awal September lalu.
Sementara itu, TFC Data Hub turut menceritakan bahawa Castro juga pilihan cukup baik buat skuad Sang Penyu dengan dia baru sahaja berusia 26 tahun ketika ini.
Meskipun sudah sedikit berusia buat seorang pemain sayap, pemain terbabit boleh dibawa masuk dengan harapan dia dapat mengurangkan beban ditanggung Sony atau penyerang skuad Sang Penyu yang lain.
"Dia berasal dari Colombia, bermain dengan kelab di liga utama Cyprus bersama AEZ Zakakiou. Apa yang menarik, kebolehannya untuk menggelecek bola dan berada dalam situasi bola mati seakan-akan Sony, posisi pun sama," tulisnya.
Ketika ini, Sony boleh diangkat sebagai tonggak utama dalam jentera serangan Terengganu FC berdasarkan statistik dan pulangan jaringannya.
Bagaimanapun, pemain kelahiran Haiti itu pernah berdepan isu konsistensi dengan gaya permainannya juga beberapa kali dipertikaikan kerana melewatkan rentak pasukan.

Alex kini merupakan salah seorang pemain tengah utama buat Selangor FC. — Facebook/MFL
Sekiranya skuad Sang Penyu mengalu-alukan kehadiran Castro dan Raphael, ia akan memberi perbezaan buat Tomislav untuk membuat penggiliran.
"Kalau ditanya, tentu sekali saya akan pilih (Raphael) Lea'i jika diberi pilihan. 20 tahun tapi boleh bawa negara dalam sukan futsal. Banyak kali diberikan peluang percubaan di Eropah dan akhirnya bermain dengan kelab Bosnia.
"Sebagaimana Selangor FC jaga (Alex) Agyarkwa dengan (Richmond) Ankrah, apa salahnya jika kita pun cuba dan buat sebegitu," tulisnya.
Agyarkwa dan Richmond sebelum ini dibawa masuk ke dalam skuad muda Gergasi Merah ketika masing-masing masih belum memiliki pengalaman mencukupi.
Namun, ia tidak mematahkan semangat kelab Lembah Klang itu untuk terus memberi mereka peluang dan kini kedua-dua pemain itu sering beraksi dalam pasukan senior. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
