Kantung kewangan kelab lain beri kelebihan Perak FC sambar 16 pemain musim depan


  • Podium
  • Sabtu, 11 Nov 2023

Perak FC setakat ini menghuni kedudukan kesembilan liga dengan merekodkan enam kemenangan. — Facebook/PerakFC

SEJAK Yusri Che Lah diberi kepercayaan untuk mengambil alih Perak FC pada Mei lalu, dia berhasil membalas kepercayaan pihak pengurusan dengan mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan Piala Malaysia dan Liga Super.

Dalam saingan Piala Malaysia, Perak menamatkan saingan Piala Malaysia di peringkat separuh akhir selepas tewas di tangan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan agregat 2-12 pada awal November lalu.

Untuk saingan Liga Super pula, kelab berpangkalan di Utara tanah air itu pula setakat ini menghuni kedudukan kesembilan liga apabila merekodkan enam kemenangan, empat seri dan 13 kekalahan selepas mengharungi 23 aksi.

Oleh itu, tidak hairanlah jika pihak pengurusan The Bos Gaurus (TBG) mengambil keputusan untuk menyambung khidmatnya pada musim depan dan pastinya ramai penyokong menanti perubahan yang bakal dibawa Yusri.

Dengan pemain sedia ada musim ini, pengendali kelahiran Perlis itu berhasil mengubah nasib Perak FC daripada sekadar memenuhi jadual liga sehinggalah menjadi pesaing yang mampu mengejutkan pasukan gergasi seperti Sabah FC dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Namun bayangkan jika pihak pengurusan memberi lampu hijau kepada pengendali berusia 47 tahun itu untuk mencari pemain mengikut kesesuaian cara permainannya, skuad Seladang pasti akan menjadi salah satu pasukan digeruni pada musim depan.

Melihat kepada cadangan-cadangan dari penyokong, ada di antara mereka mencadangkan untuk membawa masuk pemain dari pasukan yang mempunyai masalah gaji seperti KDA FC, Kuala Lumpur City FC, Kelantan FC dan Negeri Sembilan FC.

Seperti hantaran dari Silver Retro, laman Facebook penyokong Perak itu melampirkan beberapa wajah pemain dan di antara yang menarik perhatian ialah wajah beberapa bekas pemain seperti Shahrel Fikri, Kenny Pallraj dan Nazirul Naim Che Hashim.

"Jika kita hanya mampu membina rumah papan untuk terus hidup dan berusaha sedikit demi sedikit untuk upgrade di masa akan datang menjadi sebuah banglo yang indah, mungkin ini adalah komponen yang harus kita miliki.

"Dalam isu kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau tak makan langsung yang dialami beberapa kelab ketika ini. Sebenarnya ia membuka peluang untuk pasukan marhaen seperi kita membina impian

"Kehadiran pasti akan mendatangkan impak dan mungkin 'marketing' terbaik pemilik kelab untuk tarikan pengunjung. InshaaALLAH Perak padu 2024," tulis laman Facebook itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram