Seperti sekadar batu loncatan, arkitek Perak FC cetus kesedihan lepas dijangka pulang ke negeri kelahiran


  • Podium
  • Jumaat, 10 Nov 2023

Sejak sertai Perak FC pada Julai lalu, Muhammad Azalinullah diturunkan dalam 10 perlawanan termasuk tiga aksi Piala Malaysia. — Facebook/PerakFC

DARI sekadar melengkapkan jadual liga sehingga bangkit memberikan saingan di saingan Piala Malaysia, Perak FC sudah berhasil membuktikan bahawa skuad yang dibarisi pemain muda itu mempunyai kualiti tersendiri.

Skuad The Bos Gaurus (TBG) menamatkan saingan Piala Malaysia di peringkat separuh akhir selepas tewas di tangan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) dengan keputusan agregat 2-12 pada awal November lalu.

Kecemerlangan yang ditampilkan pemain skuad Seladang itu membuatkan beberapa tonggak mereka menjadi rebutan kelab Liga Super lain untuk memperkuatkan pasukan masing-masing pada saingan musim depan.

Salah seorang pemain Perak yang memikat beberapa kelab Liga Super lain ialah arkitek tengah, Muhammad Azalinullah Mohammed Alias yang sendiri mengakui sudah mendapat tawaran daripada beberapa pasukan domestik tanah air.

"Alhamdulillah sekarang saya dihubungi beberapa pasukan yang mula bertanya mengenai kontrak saya bersama pasukan Perak FC, mungkin ini rezeki anak saya.

"Namun saya tidak boleh maklumkan pasukan mana kerana masih bersama pasukan Perak FC sehingga Disember ini, cuma boleh saya katakan pasukan berkenaan berada dalam kelompok lima pasukan terbaik saingan Liga Super," memetik laporan dari Harian Metro.

WhatsApp Image 2023-11-10 at 5.33.14 PM (1)

Muhammad Azalinullah ketika menandatangani kontrak bersama TFC pada 2018. — Facebook/TFC

Sekiranya mendapat tawaran dari skuad Sang Penyu, pemain berusia 27 tahun itu bagaimanapun meluahkan hasratnya untuk ingin kembali menyarung jersi Terengganu FC (TFC) dan secara tidak langsung ingin berbakti bersama negeri kelahirannya.

Sebelum ini, bekas tonggak Harimau Muda C itu beraksi untuk pasukan Terengganu sebelum dia diketepikan oleh jurulatih kelahiran Croatia, Tomislav Steinbruckner berikutan banyak pilihan pemain di bahagian tengah.

Rentetan luahan hasrat Muhammad Azalinullah itu, ia jelas tidak memberi kegembiraan kepada penyokong Perak dan ada yang menyifatkan pemain tengah itu seakan-akan menjadikan Perak sebagai batu loncatan untuk ke pasukan lain.

Melihat kepada reaksi penyokong di laman Facebook, Silver Retro, rata-rata pengikut The Bos Gaurus berharap agar Muhammad Azalinullah akan kekal bersama kelab berpangkalan di Utara tanah air itu pada saingan musim depan.

"Sangat rugi kalau keluar Perak, di Perak bakatnya berkembang dapat main first eleven (kesebelasan utama). Balik Terengganu belum tentu dapat fight (rebut) kesebelasan utama," kata penyokong TBG, Infozon TGG.

"Perak ini jadi tempat pemain asah taji saja. Bila taji dah tajam, bolehlah join (masuk) team lain. Sekarang ini susah nak jumpa pemain yang betul-betul nak stay (kekal) dekat satu-satu pasukan itu. Mungkin sebab faktor kewangan la kot," bagi penyokong, Abam Braderr. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram