Isu 'pintu belakang' dihadapi kelab amatur Terengganu sulitkan operasi pasukan


  • Podium
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Kerteh FC menjadi salah sebuah kelab amatur tempatan yang sering menghasilkan bakat-bakat besar dalam sukan bola sepak. — Facebook/Kerteh FC

PEMBANGUNAN pemain belia dalam arena bola sepak negara masih belum berada di tahap memuaskan apabila hanya beberapa kelab memiliki akademi berkualiti.

Tindakan yang tidak memberi penekanan serius itu dianggap sebagai punca pasukan muda negara kerap kecundang ketika beraksi di peringkat antarabangsa.

Selain itu, impak daripada kekurangan akademi bermutu memberi adalah apabila pasukan Liga Super perlu bergantung kepada kelab amatur untuk mendapatkan pemain berpotensi.

Antara pasukan yang sering membekalkan ubi-ubi muda dalam landskap bola sepak tanah air ialah Kerteh FC dengan kelab terbabit berpangkalan di Terengganu.

Mereka yang menyertai Liga Bola Sepak Terengganu menawarkan peluang kepada pemain dalam pelbagai peringkat umur untuk mendapatkan pendedahan dalam sukan terbabit.

Di samping memberikan peluang beraksi, Kerteh FC juga kerap menekankan beberapa aspek permainan penting, termasuk kesempatan bermain di atas padang sintetik.

387231530_659409322959653_4106752273657784677_n

Kerteh FC turut menerima bakat-bakat muda dari seluruh negara. Facebook/Kerteh FC

Jadi, tidak hairanlah apabila kelab Pantai Timur itu mula disertai anak-anak muda seluruh negara dengan harapan bakat mereka dapat diasah.

Namun, kebelakangan ini, satu berita buruk mula tersebar berhubung pasukan itu apabila salah seorang staf mereka, Adam Sariman membuat pendedahan di laman Twitter peribadinya.

"Kecewa dengan cara sebahagian kelab beroperasi dengan hanya mengambil pemain muda kami menerusi 'pintu belakang'. Pasukan yang dimaksudkan berbuat demikian tahun lalu dan mengulanginya lagi.

"Kami sudah beberapa kali menerangkan kepada ibu bapa mengenai program kami. Tetapi, hasilnya tetaplah sama juga," tulisnya pada Isnin lalu.

Isu 'pintu belakang' bukanlah sesuatu yang baharu dalam landskap bola sepak tanah air apabila perkara berkenaan pernah dialami beberapa kelab Liga Super.

Ciapan berkenaan kemudiannya menerima respons daripada orang ramai yang mengkhuatiri tindakan sedemikian hanya akan merugikan Kerteh FC pada masa akan datang.

396705787_729271992566892_8415909453287138415_n

Ciapan Adam Sariman meraih perhatian peminat bola sepak tanah air.

"Dengarnya dalam Liga Malaysia pemain boleh cari kelab baharu jika kontrak hanya berbaki enam bulan, kalau kelab luar kena tunggu sehingga tiga bulan.

"Tetapi, ada juga dengar yang kontrak masih berbaki dua tahun sudah sibuk mahu tebus kontrak pada masa akan datang. Bawa sahaja isu ini ke mahkamah jika ada," ujar Rafi Nuridjal.

"Kelab dah gilap pemain sehingga cukup baik, boleh pula kelab lain hadir dan mencuri mereka? Kalau nak, bayarlah. Macam mana kelab nak buat duit kalau asyik pemain dicuri?" kata Afiq Azmi.

"Budaya 'pintu belakang' sudah biasa dalam bola sepak negara sehingga ia menjadi isu saban tahun. Jangan kata kelab kecil, kelab kaya raya pun ada yang tak mahu nak beli dengan sah," kata Ahmad Ahmad.

Selain Kerteh FC, beberapa kelab amatur lain turut menyertai Liga Bola Sepak Terengganu, termasuk Besut FA, BTK FC dan Setiu FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram