Memalukan tapi Bobie ada sebab gembira di sebalik kekalahan Perak FC


  • Podium
  • Jumaat, 03 Nov 2023

Antara aksi perlawanan di antara JDT dan Perak FC pada Khamis. — Facebook/PerakFC

JOHOR Darul Takzim (JDT) menunjukkan langsung tidak mempunyai masalah untuk berpesta gol membenam Perak FC 8-1 dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor pada Khamis.

Penyandang juara Piala Malaysia itu mara ke final dengan kemenangan agregat 12-2 selepas terlebih dulu menang 4-1 ke atas skuad The Bos Gaurus pada aksi separuh akhir pertama di Ipoh, Perak pada 19 Oktober lalu.

Penyerang prolifik JDT, Bergson da Silva; Heberty Fernandes dan Syafiq Ahmad masing-masing menyumbangkan dua jaringan gol, manakala, Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi pula masing-masing mencetak satu jaringan gol untuk Harimau Selatan.

Juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu menguasai keseluruhan permainan sebelum pemain Perak, Muhammad Firdaus berjaya menjaringkan gol sagu hati buat The Bos Gaurus sebelum wisel penamat ditiupkan.

Tewas dengan jaringan besar itu jelas mematahkan hati semua penyokong Perak FC dan malah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim kelab, Bobie Farid Shamsudin juga menyifatkan ia adalah kekalahan memalukan untuk skuad Seladang.

WhatsApp Image 2023-11-03 at 11.11.27

Barisan pemain JDT ketika meraikan jaringan gol mereka. — Facebook/JDT

Bobie bagaimanapun masih berbangga dengan pasukan Utara tanah air itu berikutan sokongan tidak henti-henti daripada penyokong terutamanya yang sanggup hadir ke gelanggang Harimau Selatan demi menaikkan moral pemain pada aksi separuh akhir itu.

“Kekalahan yang agak memalukan. Hilang seorang saja pemain hancur lebur team kan. Itu lah dia realiti tuan tuan.. Namun kehadiran di SSI jelas menunjukkan penyokong Perak lebih banyak dan lebih supportive terhadap pasukan.

“Walaupun stadium kami penuh taik burung dan mahal namun ia menunjukkan dengan pemain mahal, pasukan bagus tak menjanjikan kehadiran yang ramai. Di sini saja perjalanan Piala Malaysia kita.

“Kita cuba lagi. Terima kasih penyokong, geng Kuale, geng Teluk Intan dan semua yang hadir duduk di ceruk atas sana. Assalamualaikum,” tulisnya menerusi akaun Facebook TBG Super Fan.

Bobie turut akui ketiadaan kapten pasukan, Luciano Guaycochea menunjukkan Perak gagal mengawal bahagian tengah sekali gus membuatkan anak-anak buah Yusri Che Lah dibolosi lapan jaringan.

Dalam pada itu, lawan JDT di pentas final bakal ditentukan antara Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC yang membuat perhitungan di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak pada Jumaat ketika skuad kendalian Tomislav Steinbruckner memiliki kelebihan agregat 2-1. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram