ISU tentang harga barang mentah dan keperluan asas sememangnya tidak pernah lekang untuk menjadi topik perbualan masyarakat Malaysia.
Namun, ia menjadi semakin hangat selepas kerajaan memutuskan untuk menamatkan subsidi ayam di seluruh negeri bermula Rabu.
Pada Isnin, kerajaan mengumumkan bahawa subsidi ayam tidak akan diteruskan lagi selepas mengambil kira situasi dan trend semasa bekalan serta harga ladang dan kos pengeluaran ayam yang dikatakan sudah mula stabil.
Pada masa sama, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohammad Sabu menjelaskan penamatan subsidi itu dilakukan secara pukal bagi mengurangkan ketirisan subsidi yang juga dinikmati oleh warga asing dan golongan berpendapatan tinggi.
Tangkap layar video Mohammad Sabu ketika mengumumkan penamatan subsidi ayam pada Isnin.
Bagaimanapun, kerajaan memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga secara mendadak ke atas bahan mentah itu dan memastikan bekalan sentiasa mencukupi walaupun tiada lagi subsidi dan kawalan yang dikenakan.
Dalam pada itu, keputusan tersebut telah mengundang pelbagai reaksi masyarakat terutama tentang harga yang akan dikenakan selepas ia dilaksanakan.
Tidak terkecuali, warganet turut dilihat saling berbalah tentang kemungkinan yang bakal berlaku terhadap harga barang mentah itu pada hari yang mendatang.
Menerusi komen yang dimuat naik di Facebook dengan menggunakan nama Wan Mohd Ammar, dia mempersoalkan tentang para peniaga yang akan turut sama untuk menaikkan harga makanan jika harga barang meningkat selepas tamatnya subsidi ayam.
"Kalaulah harga naik nanti, habis peniaga akan tunggang (bangkitkan) isu harga naik dengan menaikkan harga makanan. Padahal masa harga turun dulu atau sekarang, harga makanan masih sama tak turun pun.
"Ni nanti harga ayam naik, lagi naik harga peniaga ni buat. Lepastu nanti pada masa akan datang, bila turun balik harga ayam peniaga ni akan turunkan sekali ke harga makanan mereka?," tulisnya.
Namun, ada yang membuktikan bahawa harga ayam mengalami sedikit penurunan selepas subsidi ditamatkan sambil berkongsi gambar harga ayam yang dijual di sebuah pasar raya tempatan.
Gambar yang dikongsikan menunjukkan harga ayam dijual pada kadar rendah selepas subsidi ditamatkan. — Facebook/Muhamad Sahril Masri
"Okay sahaja harga ayam, tiadalah mahal sangat lepas subsidi ditamatkan," komen Muhamad Sahril Masri.
"Moga berkekalan harga di bawah RM7 sekilogram," tulis Hashimijan Hashim.
"Sabar hari pertama, kita tunggu sebulan dua lagi, nak padu Iagi tunggu bulan puasa," komen Faizal Azmir.
Sementara itu, harga ayam juga dilaporkan berlaku penurunan terutama di Perlis dan Terengganu dan berdasarkan tinjauan yang dilakukan oleh media tempatan mendapati barang mentah itu dijual pada harga runcit RM8.70 manakala harga borong pula sebanyak RM7.19. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram