[VIDEO] 'Ini bola sepak, kita tak tahu', Tomi enggan pandang rendah Stallion Laguna


  • Podium
  • Rabu, 25 Okt 2023

Tomislav tidak mahu terlalu yakin meskipun mengetahui benteng pertahanan Stallion Laguna cukup rapuh dalam Piala AFC musim ini. — Facebook/Terengganu FC

PELUANG cukup baik dimiliki Terengganu FC untuk meraih tangga teratas Kumpulan G Piala AFC apabila mereka berdepan pasukan tercorot, Stallion Laguna pada Khamis.

Selepas mengumpul empat mata daripada dua perlawanan, skuad Sang Penyu kini berada di kedudukan kedua dengan hanya perbezaan jaringan menutup peluang mereka untuk berada di kedudukan teratas.

Jadi, aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu itu pastinya menjadi perhatian memandangkan lawan mereka dari Filipina itu berada dalam prestasi mengecewakan.

Dalam dua perlawanan Kumpulan G, Stallion Laguna mengalami dua kekalahan berturut-turut dengan sebanyak 14 jaringan dibolosi mereka.

Prestasi tersebut sudah tentu mencuri perhatian Terengganu FC yang berpeluang menjaringkan lebih banyak gol selain mencatatkan kemenangan kedua pasukan.

Tetapi, bagi pengendali Sang Penyu, Tomislav Steinbruckner, keyakinan menggunung dikhuatiri hanya akan merugikan anak-anak buahnya dalam aksi berkenaan.

"Apabila saya lihat semula dua perlawanan terdahulu mereka, Stallion Laguna memberikan tentangan pada 20 sehingga 30 minit pertama permainan.

"Jadi, kita perlu bersabar esok (Khamis) dan gunakan kesemua kualiti dimiliki kami dan beraksi untuk 90 minit," kata pengendali dari Croatia itu dalam sidang media pra-perlawanan.

Untuk rekod, Stallion Laguna mengalami kekalahan 2-5 kepada Bali United di laman sendiri dalam aksi pembukaan sebelum dibenam dengan skor 1-9 ketika berdepan Central Coast Mariners 4 Ogos lalu.

Oleh itu, skuad kendalian Ernest Nierras sudah tentu mengharapkan kemenangan mampu dibawa pulang meskipun mengetahui kualiti Terengganu FC dalam Piala AFC musim ini.

Bagaimanapun, bagi Tomislav, harapan tinggi diletakkan di bahu pemainnya untuk memberikan persembahan lebih baik untuk membuka peluang mara ke peringkat seterusnya.

"Sudah tentu kita akan cuba untuk membawa pulang tiga mata dan ia pastinya diharapkan kesemua pihak. Tetapi, ini adalah bola sepak, kita tidak akan pernah tahu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram