[VIDEO] Benci tapi sayang, media Indonesia harap Malaysia menang demi buktikan tanggapan India salah


  • Podium
  • Jumaat, 13 Okt 2023

Harimau Malaya berpeluang menaikkan mata FIFA jika menewaskan India dalam aksi pembuka tirai Pestabola Merdeka. — Facebook/FAM

GELANGGANG keramat Harimau Malaya, Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur akhirnya akan kembali berkumandang dengan jeritan penyokong tanah air bagi menyaksikan kejohanan Pestabola Merdeka yang kembali selepas 10 tahun.

Aksi pembukaan Pestabola Merdeka akan menyaksikan skuad kendalian Kim Pan-gon menentang India, yang mana kedua-dua pasukan bakal merebut slot ke pentas final kejohanan tersebut bagi menentang Tajikistan.

Tajikistan mendapat 'bye' dan akan terus layak ke final selepas susulan konflik Palestin-Israel memaksa skuad dengan jolokan The Knights itu terpaksa melupakan hasrat untuk beraski di saingan Pestabola Merdeka tahun ini.

Menjelang aksi sulung kejohanan edisi ke-42 itu, selain pengikut bola sepak tanah air yang akan turun memberi semangat kepada skuad kebangsaan, penyokong Indonesia juga tidak terlepas daripada memberi sokongan untuk Harimau Malaya.

Perkara berkenaan bukan sekadar hubungan antara Nusantara, malah penyokong Indonesia berharap agar kemenangan berpihak kepada Malaysia sebagai bukti kualiti bola sepak negara Asia Tenggara.

Harimau Malaya ketika sesi latihan menjelang aksi pembukaan Pestabola Merdeka menentang India. — Facebook/FAM

"Tahukah anda bahawa penyokong India pernah merendahkan kualiti bola sepak Asia Tenggara pada 2021. Hari ini (Jumaat), jiran kita, Malaysia akan menentang dengan India di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

"Perlawanan ini adalah peluang untuk Malaysia membuktikan tanggapan India terhadap bola sepak Asean adalah salah," tulis laman Twitter media Indonesia, MakanBola Indonesia pada Jumaat.

Dorongan yang ditunjukkan media Indonesia itu membuktikan bahawa hubungan benci tapi sayang sememangnya wujud antara kedua-dua negara walaupun penyokong Harimau Malaya dan skuad Garuda kadang-kadang gemar membuat usikan.

Ciapan tersebut dimuatnaik sebagai mengimbau semula peristiwa ketika penyokong skuad The Blue Tiger meluahkan ketidakpuashatian mereka terhadap Malaysia dan negara-negara Asia Tenggara lain pada 2021 selepas gagal layak kejohanan Piala AFC B-23 2022.

ss india

Tangkap layar komen dari penyokong India pada 2021.

Segelintir penyokong India beranggap bahawa negara-negara di rantau Asia Tenggara bernasib baik kerana diundi berdepan lawan setaraf dan bukannya berdepan pasukan dari negara Asia Timur seperti Jepun serta Korea Selatan.

"Mengapa ada dua zon di AFC, negara Asean amat lemah dalam bola sepak dan masih mampu layak ke pusingan akhir Asia. Samada ianya pertandingan kelab mahupun skuad nasional, mereka hanya perlu berhadapan Jepun, Australia dan Korea sebagai antara pasukan terkuat,” dipetik ciapan Twitter @RiyaMah25803493 yang dilaporkan oleh Vocket FC pada dua tahun lalu.

Ketika itu, skuad Bawah 23 tahun negara (B-23) layak ke kejohanan Piala AFC B-23 di Uzbekistan dan India B-23 pula tidak berhasil ke saingan berkenaan selepas hanya menamatkan aksi kelayakan dengan empat mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram