Sikap baran legenda Selangor dibanding dengan Yazan, penyokong rasa hukuman Selangor FC tidak adil


  • Podium
  • Rabu, 04 Okt 2023

Kekasaran terhadap pengadil menyaksikan Yazan kini tidak lagi bersama skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC

TINDAKAN emosional yang dilakukan pertahanan Selangor FC, Yazan al-Arab terhadap pengadil perlawanan, Hasrol Amir menyebabkan kontraknya ditamatkan lebih awal.

Insiden yang melibatkannya menendang pegawai berkenaan tercetus ketika aksi timbal balik Piala Malaysia antara skuad Gergasi Merah dengan Terengganu FC 24 September lalu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, keputusan terhadap pemain kebangsaan Jordan itu dibuat selepas satu prosiding tatatertib dibuat pasukan Lembah Klang berkenaan.

"Berikutan Prosiding Tatatertib tersebut, kelab telah memutuskan untuk menamatkan kontrak Yazan al-Arab melalui penamatan kontrak bersama secara serta-merta," tulisnya.

Tindakan berkenaan sudah tentu mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan penyokong pasukan yang melihat denda itu terlalu berat dan tidak sewajarnya diambil.

yazan_BHfield_image_listing_featured.var_1696335180

Kekasaran yang dibuat Yazan (tengah) mencetuskan perdebatan hangat.

Di samping itu, ada juga yang berasakan khidmat dan sumbangan Yazan selama dua musim bersama skuad Gergasi Merah seakan-akan tidak dihargai berdasarkan keputusan tersebut.

Antara yang menyuarakan hal terbabit ialah penyokong Selangor FC, Irwan Mohd Rasid dengan luahan berkenaan dibuat di laman Facebook peribadinya.

Berdasarkan pandangan yang dikongsikan itu, individu berkenaan sempat membandingkan karakter Yazan dengan bekas bek tengah skuad Gergasi Merah, Khairul Anuar Baharum.

"Dua perwatakan yang hampir sama. Cuma, yang beza ialah Yazan kurang panas barannya dan tidak bertindak dengan agresif seperti Ah Chong (Khairul) dahulu.

"Sekarang, lain pulak. Yazan yang jauh beza dari segi perwatakan dengan Ah Chong, kenapa ramai yang suruh Yazan keluar sedangkan dahulu, kita suka pertahanan yang agak agresif?" tulisnya.

WhatsApp Image 2023-10-04 at 10.55.27

Ah Chong merupakan salah seorang bek tengah tempatan terbaik pernah dimiliki skuad Gergasi Merah.

Berdasarkan statistik, Khairul Anuar pernah beraksi buat Selangor FC untuk beberapa musim setelah menaikkan reputasinya sebagai antara pemain pertahanan terbaik negara.

Sepanjang keberadaannya, skuad Gergasi Merah pernah meraih pelbagai kejuaraan, termasuk dua gelaran Liga Super serta Piala FA 2009.

Pencapaian berkenaan sudah cukup untuk menceritakan perbezaannya berbanding Yazan yang hanya berjaya membawa kelab itu ke pentas akhir Piala Malaysia musim lalu.

Jelas penyokong itu lagi, keputusan Selangor FC untuk menamatkan kontrak bek tengah berbadan tegap terbabit terus menimbulkan pelbagai persoalan.

"Yazan ni pun baru pertama kali terjadi, terus dibuang. Bagi saya, memang tidak adil kepada pemain itu sedangkan boleh dihukum atau didenda sahaja, Kenapa perlu dibuang?" katanya lagi.

khairul-anuar-baharom-Selangor

Khairul memiliki karakter tersendiri sepanjang bergelar pemain bola sepak profesional.

Berdasarkan berita terdahulu, Ah Chong pernah dibuang padang beberapa kali sepanjang bersama skuad Gergasi Merah di samping buat skuad kebangsaan.

Salah satu insiden yang pastinya sukar dilupakan adalah apabila pemain berkenaan pernah menanduk bekas tonggak Terengganu FA, Haris Safwan Mazlan selepas perlawanan 12 tahun lalu.

Karakternya itu sudah tentu meletakkannya sebagai salah seorang pemain cukup beremosi yang pernah disaksikan dalam arena bola sepak tempatan.

Kehilangan Yazan menyaksikan Selangor FC hanya memiliki dua bek tengah import memasuki penghujung musim, iaitu Richmond Ankrah dan Safuwan Baharudin.

Selain itu, skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu boleh menurunkan dua pemain pertahanan muda, Shahrul Nazeem Zulpakar dan Harith Haiqal Adam Afkar di posisi terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram