
PASUKAN bawahan Liga Super, Perak FC mencipta kejutan apabila berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
Semua ini terhasil selepas skuad kendalian Yusri Che Lah mencuri tumpuan apabila berjaya menumbangkan Sabah FC untuk bertemu Johor Darul Takzim (JDT) di peringkat seterusnya.
Rata-rata penyokong Perak jelas memuji persembahan cemerlang skuad The Bos Gaurus terutamanya ketika aksi kedua di Ipoh. Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Perak, The Bos Gaurus beraksi cukup disiplin dalam mengekang kemaraan pemain-pemain Sabah.
Namun begitu, terdapat seorang pemain yang mencuri tumpuan dalam skuad Perak. Dalam kedua-dua perlawanan suku akhir, pemain ini telah menjadi nadi kebangkitan The Bos Gaurus bagi menumbangkan skuad Badak.
Pemain yang dimaksudkan itu adalah Wan Zack Haikal Wan Noor, wira Perak yang membantu mereka ke separuh akhir.
Wan Zack menjaringkan satu gol dalam kedua-dua aksi suku akhir dan jaringannya itu cukup signifikan dalam perjuangan Perak. Gol pemain tersebut di Likas membuka ruang untuk Perak bangkit melawan Sabah.
Wan Zack dikawal hebat Stuart Wilkin pada aksi di Ipoh. — Facebook/Perak FC
Sementara di Ipoh pula adalah jaringan kemenangan yang membawa The Bos Gaurus ke separuh akhir.
Penyokong Perak nyata gembira dengan prestasi baik Wan Zack ketika ini. Semua ini tidak akan terjadi tanpa bantuan oleh Yusri Che Lah yang mengasah semula pemain tersebut.
"Wan Zack hidup kembali bila bersama Perak. Prestasi dia sudah lama hilang tapi Yusri guide Wan Zack sampai jadi mantap," kata penyokong bernama Valentino Rosdi.
"Hidup Wan Zack!," tulis Ahmad Farid Imran Dzulkipli.
"Terbaik Wan Zack, tidur lena. Tahniah Yusri Che Lah dan semua pemain. Kome semua memang hebat," komen Mohd Hawari Tazeli pula.
Para pemain Perak meraikan gol Wan Zack. — Facebook/MFL
Prestasi cemerlang Wan Zack telah berjaya menutup insiden sebelum perlawanan berlangsung apabila pemain tersebut dilihat menampar pengadil iaitu Razlan Joffri Ali.
Insiden itu telah menjadi tular dan mendapat perhatian akaun Twitter (X) terkenal iaitu Out of Context Football yang memuat naik video tersebut.
Persembahan baik Wan Zack dan rakan-rakan telah berjaya menggamit memori penyokong Perak sewaktu pasukan tersebut dibarisi pemain-pemain seperti Rafdi Rashid dan Khalid Jamlus.
"Syukur ALHAMDULILLAH terubat rindu nak tengok skuad Yob macam zaman Khalid Jamlus, V. Saravanan, Rafdi Rashid (dan) Indra Putra. Hebat ketua pasukan, Luciano Guaycochea, Wan Zack Haikal, Sunday Afolabi dan semua pemain muda dari (skuad) Piala Presiden. Macam lipas kudung depa punya larian. Hebat," kata Roz Aaron Rifqie.
Aksi seterusnya buat Perak di Piala Malaysia adalah pertemuan separuh akhir menentang JDT pada 20 Oktober. Perlawanan pertama akan diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram