
AKSI timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu menyaksikan tuan rumah, Johor Darul Takzim mengesahkan slot ke separuh akhir Piala Malaysia setelah menewaskan Negeri Sembilan FC dengan agregat 7-1.
Menang 4-1 dalam perlawanan suku akhir kedua di gelanggang sendiri itu, skuad Harimau Selatan terlebih dulu meraih gol awal menerusi jaringan Bergson da Silva pada minit keenam permainan.
Berselang beberapa minit selepas itu, penyerang kelahiran Brazil berkenaan mendapatkan gol kedua perlawanan apabila mudah menewaskan penjaga gawang skuad Jang, Firdaus Imran Fadhil.
Pada minit ke-29 pula, JDT melebar jurang dengan pasukan pelawat apabila pemain import dari Sepanyol, Juan Muniz merembat masuk sepakan percuma yang cukup menarik.
Kedudukan 3-0 itu menyaksikan skuad kendalian Esteban Solari berada di hadapan dengan agregat 6-0 setelah memenangi perlawanan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan 13 September lalu.
Namun, berselang 10 minit daripada jaringan Muniz, skuad kendalian K Devan meraih jaringan saguhati menerusi rembatan deras Zamri Pin Ramli.
Bergson menjadi wira buat JDT dengan dua gol dalam aksi timbal balik di laman sendiri. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Percubaan dari jarak dekat itu menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias yang gagal menepis bola keluar meskipun berada cukup dekat dengan pemain Negeri Sembilan itu.
Situasi berkenaan menyebabkan penyokong skuad Harimau Selatan terus mempersoalkan kebolehannya yang kini semakin jelas dimamah usia.
Berdasarkan tinjauan di media sosial, ramai yang berpendapat bekas penjaga gol kebangsaan itu sepatutnya boleh mengelak gawangnya daripada dibolosi.
"Farizal ni dah boleh pencen. Apabila pihak lawan menyerang, hampir 90 peratus dia dibolosi. Cukup mengerikan apabila lawan membuat serangan. Maaf, sekadar pandangan peribadi," kata Hj Kamin.
"Farizal kalau jaga, selalunya dibolosi gawang JDT," ujar Haziq Ismail.
"Farizal dah berat, kenapalah tak diberikan peluang untuk menurunkan Haziq Nadzli?" soal Uzai Uzai.
Bagaimanapun, JDT tidak berdiam diri pada separuh masa kedua apabila mendapatkan semula beza tiga gol apabila penyerang sensasi mereka, Fernando Forestieri menjaringkan gol pada masa tambahan.
Selepas ini, skuad Harimau Selatan perlu menantikan lawan di peringkat separuh akhir dengan Sabah FC dan Perak FC masih memiliki peluang untuk memastikan kemaraan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram