Peniaga kecil 'bungkus' kalau rakyat tak ketagih makan luar


  • Massa
  • Selasa, 19 Sep 2023

TERDAPAT pandangan yang berpendapat cadangan supaya rakyat Malaysia beralih kepada tabiat lebih banyak makan di rumah bakal memberikan kesan langsung terhadap ekonomi peniaga makanan. — Gambar hiasan

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli pada Isnin dilaporkan berkata, tabiat makan luar yang diamalkan dalam kalangan masyarakat Malaysia menyebabkan sebahagian besar daripada pendapatan rakyat dihabiskan untuk tujuan tersebut.

Menurutnya, amalan yang disifatkan sudah menjadi satu ketagihan itu secara langsung menyumbang kepada penyusutan pendapatan boleh belanja.

Situasi itu kata Rafizi menjadikan isi rumah di dalam negara lebih sensitif terhadap inflasi mendadak yang menjejaskan harga makanan dimasak, meskipun inflasi utama merekodkan penurunan.

Pada masa sama, beliau turut mengambil contoh gaya perbelanjaan rakyat di negara lain seperti Korea Selatan yang mana tabiat makan luar dijadikan sebagai perkara riadah dan bukannya keperluan.

Economy Minister Rafizi Ramli.-- Bernama

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Namun, kenyataan daripada Rafizi berkenaan isu tersebut ternyata mengundang kritikan daripada orang ramai.

Malah, ada yang menganggap bahawa Ahli Parlimen Pandan itu seakan-akan tidak peka dengan cabaran dihadapi masyarakat Malaysia.

"Kos hidup tinggi. Rakyat kena buat lebih dari satu kerja. Kerja lebih masa, tak sempat nak masak. Makanan beli, itulah kitaran hidup di Malaysia," ujar Famy MOmo.

"Suami isteri bekerja. Memang jarang la sempat masak. Kos sara hidup tinggi. Sama je makan luar ke makan dekat rumah ke. Kais pagi makan pagi. Kais petang makan malam," katanya.

Dalam pada itu, terdapat juga netizen berpandangan bahawa cadangan Rafizi untuk beralih kepada tabiat lebih banyak makan di rumah bakal memberikan kesan langsung terhadap ekonomi peniaga makanan.

"Dangkal dan sempit. Tanpa rakyat setempat berbelanja, kedai kecil dan peniaga akan 'bungkus' dan tak akan berani niaga. Jika kerajaan ajar rakyat simpan duit dan jangan belanja. Ekonomi setempat akan menguncup. Tiada aliran tunai mengalir ke tangan peniaga kecil," tulis Zuhdi Mohamad.

"Kita kena sokong juga peniaga, baru ekonomi berjalan, berkongsi rezeki," ujar Abd Razak Abd Razak.

"Menteri ekonomi tapi tak sokong peniaga makanan. Walhal mereka yang banyak bantu memudahkan urusan makan minum penjawat awam. Isu utama adalah kos barangan asas tinggi. Kalau kos murah, makanan murah, elok jer semua," kata Ubaidillah Alias.

"Kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli ini bertentangan dengan konsep pertumbuhan ekonomi sektor runcit. Jika peniaga makanan tiada pelanggan sektor runcit akan menguncup kesannya buruk untuk pertumbuhan ekonomi negara," kata Yaakob Osman.

Brief Caption: The  economy rice shop at Pulau Tikus.( Nov 23, 2021 )— LIM BENG TATT /The Star

Tuntutan pekerjaan dan kesuntukan masa menyebabkan ramai rakyat Malaysia lebih memilih makan luar berbanding di rumah. — Gambar hiasan

Untuk rekod, Rafizi ketika mengulas lanjut berkenaan perkara tersebut berkata, rakyat tidak boleh dipersalahkan dalam isu itu sebaliknya beliau mengaitkan kesan pelaksanaan dasar sebelum ini.

Jelasnya, ini keranan masalah tersebut antara lain berkait dengan struktur ekonomi dan gaji negara serta dasar pengangkutan awam negara.

Pada waktu ini, Rafizi berkata, secara purata isi rumah di dalam negara membelanjakan kira-kira satu pertiga daripada pendapatan boleh guna mereka untuk makanan yang dimasak atau dibawa pulang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram