GST punca barang naik harga? pakar ekonomi beri 3 kesan pengenalan GST kepada negara


  • Massa
  • Selasa, 12 Sep 2023

Untuk rekod, GST pernah diperkenalkan di Malaysia bermula pada 1 April 2015. — Gambar hiasan

MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli pada Isnin memaklumkan Kerajaan tidak menolak untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah dimansuhkan sebelum ini.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama desas-desus kepada pengenalan semula sistem cukai berkenaan.

Malah, Kerajaan sebelum ini pada 2022 juga pernah secara terbuka mengumumkan sedang mengkaji kewajaran pelaksanaan sistem percukaian tersebut.

Untuk rekod, GST pernah diperkenalkan di Malaysia bermula pada 1 April 2015.

Bagaimanapun susulan daripada pertukaran kerajaan pada 2018, kerajaan semasa bertindak memansuhkannya pelaksanaan cukai tersebut bagi menggantikannya Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September tahun tersebut.

Dengan mengambil kira perkembangan semasa terutamanya daripada segi keperluan menambahkan pendapatan negara melalui pungutan hasil cukai, pengenalan semula GST dilihat merupakan antara pilihan yang boleh diambil Kerajaan.

2278321

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Untuk itu, Majoriti menghubungi pakar percukaian, Veerinderjeet Singh bagi mendapatkan pandangannya berhubung impak yang bakal dirasai negara ekoran daripda pengenalan cukai tersebut:

1. Peningkatan harga barangan

Veerinderjeet berkata, peningkatan harga barangan dan perkhidmatan sememangnya dijangkakan merasai sedikit kenaikan harga

Selain daripada kenaikan kadar cukai, GST juga akan menyebabkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan dikenakan cukai.

Berbanding SST yang hanya mencapai sekitar 38 peratus barangan dan perkhidmatan di dalam negara, GST yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini pula meliputi hampir 70 peratus.

"Jadi kalau sekarang diluaskan dan lebih banyak perkhidmatan dikenakan (cukai), memang akan memberi kesan. Sebab pengguna akan dikenakan cukai pada kadar enam peratus contohnya," ujarnya.

Bagaimanapun, Veerinderjeet berkata, kesan kenaikan itu hanya akan memberikan impak yang sedikit terhadap kenaikan kadar inflasi.

Ujar beliau, peningkatan harga barangan yang berlaku sebelum ini sebahagian besarnya berpunca daripada tindakan sesetengah peniaga yang mengambil kesempatan dengan mencatut harga barangan secara sesuka hati.

KUALA LUMPUR, 16 Julai -- Pekerja kedai buku Nor Azura Ahmad Puad (tengah) mengira barang yang dibeli oleh pelanggan di Kedai Pustaka Seri Maju hari ini.Kedai komputer dan telekomunikasi serta kedai buku dan alat tulis dibenarkan untuk beroperasi sepanjang tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa hari ini.--fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Pelaksanaan GST meliputi hampir 70 peratus barangan dan perkhidmatan dalam negara. — Gambar hiasan

"Sebab kadar cukai itu patutnya hanya enam peratus. Jadi harga sepatutnya naik hanya enam peratus sahaja.

"Memang GST dikenakan di seluruh rantaian bekalan, tapi di peringkat pengedar sepatutnya tidap perlu dinaikkan.

"Ini kerana kita kena faham, cukai GST ini ada dua iaitu cukai ke atas input dan cukai ke atas output. Cukai output dikenakan ke atas jualan yang ditanggung pengguna.

"Tapi cukai input yang dikenakan terhadap pihak seperti pengedar dan peruncit, mereka boleh membuat semula tuntutan yang dibayar itu," jelasnya.

Disebabkan itu, secara teknikalnya, cukai GST yang dikenakan terhadap pengedar dan peruncit tidak sepatutnya memberikan kesan terhadap harga akhir.

2. Kurangkan kes perniagaan lari cukai

Untuk memastikan pelaksanaan GST yang berkesan, Veerinderjeet berkata, ia perlu dilaksanakan secara seluas mungkin terhadap kesemua barangan dan perkhidmatan di dalam negara.

"SST yang dikenakan sekarang boleh dikatakan cuma meliputi 38 peratus daripada semua barangan dan perkhidmatan yang ada.

"Jadi apabila dulu dilaksanakan GST, ia telah dikenakan hampir 70 peratus daripada barangan dan perkhidmatan," katanya.

"Jadi kita ada GST kelak, antaranya kekuatannya adalah ia dapat mengurangkan kes perniagaan tertentu yang lari cukai.

Dalam pelaksanaan GST sebelum ini, antara barangan dan perkhidmatan yang mula dimasukkan di bawah sistem percukaian tersebut ialah barangan makanan seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan termasuk buku.

3. Tingkatkan hasil negara

Untuk rekod, semasa pelaksanaannya sebelum ini, GST berjaya menambah pendapatan negara antara RM40 bilion hingga RM50 bilion setahun berbanding SST yang merekodkan pungutan sekitar RM30 bilion.

Bagaimanapun, Veerinderjeet berkata, peningkatan dalam pungutan hasil cukai negara itu tidak semata-mata meningkat hanya disebabkan pengenalan sistem tersebut.

Ini kerana menurutnya, ia juga bergantung kepada kadar cukai yang dikenakan selain daripada tahap liputan barang yang dikenakan cukai.

"Banyak penganalisis dan ahli politik katakan bahawa kadar yang ideal untuk GST ini adalah antara dua ke tiga peratus. Alasannya untuk mengawal kenaikan harga barangan.

1658532

Peningkatan harga barangan sememangnya dijangka menyumbang kepada peningkatan harga barangan di dalam negara. — Gambar hiasan

"Tapi kalau kita kenakan hanya pada kadar tiga peratus, dan dengan mengambil kira liputan cukai sama seperti sebelum ini, kita mungkin hanya dapat hasil dalam RM20 bilion.

"Jumlah tersebut adalah lagi rendah daripada RM30 bilion yang kita dapat daripada SST. Jadi apa makna kita kenakan GST kalau macam itu?" soalnya.

Disebabkan itu, Veerinderjeet berkata, kadar enam peratus adalah kadar sesuai untuk pelaksanaan cukai GST di dalam negara.

Beliau menambah, untuk memastikan kenaikan harga berada di dalam paras terkawal, beliau berkata, kerajaan perlu mencari waktu yang benar-benar tepat untuk menghidupkan kembali sistem cukai terbabit.

Antara yang perlu diambil kira adalah kadar tekanan inflasi, kestabilan rantaian bekalan dunia dan juga tahap persediaan perniagaan di dalam negara.

"Mungkin kerajaan boleh laksanakan pada 2025 dan ke atas dengan mengambil kira keadaan ekonomi yang sudah kembali reda dan stabil," jelasnya.

Pada masa sama, untuk membantu golongan kumpulan berpendapatan rendah menghadapi kenaikan harga barangan tersebut, kerajaan juga boleh melaksanakan antara lain langkah seperti pemberian subsidi atau bantuan kewangan secara bersasar terhadap kumpulan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram