Arif Aiman tunjuk 2 jari angkara ref, lompatan Syihan warnai JDT tewas tipis di tangan Kawasaki


  • Podium
  • Selasa, 19 Sep 2023

Tangkap layar Arif Aiman menunjukkan dua jarinya yang bermaksud pengadil membuat perkara sama terhadapnya.

JOHOR Darul Takzim (JDT) bermula langkah kiri apabila tumbang ditangan kelab gergasi Jepun, Kawasaki Frontale 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim, di Iskandar Puteri, Johor dalam aksi pembukaan kempen Liga Juara-juara Asia (ACL) 2023.

Kekalahan itu secara tidak langsung mengembalikan detik hitam yang dialami musim lalu apabila Harimau Selatan tewas 0-5 bagi saingan ACL 2022 di tangan naib juara Liga Jepun tersebut.

Babak pertama perlawanan bermula dengan rancak apabila kedua-dua pasukan menampilkan intensiti permainan yang tinggi dengan masing-masing melancarkan serangan bertalu-talu ke arah pintu gawang.

Selepas hampir 45 minit beraksi, kelebihan jaringan akhirnya memihak kepada Kawasaki Frontale apabila tendangan akrobatik penyerang import mereka, Marchinho menerjah gawang yang dijaga Syihan Hazmi.

WhatsApp Image 2023-09-19 at 21.24.37

Kesebelasan utama JDT menentang Kawasaki. — Facebook/JDT

Perlawanan pada separuh masa pertama bagaimanapun terpalit dengan beberapa insiden kontroversi apabila penyerang sayap lincah JDT, Arif Aiman tidak mendapat mendapat sepakan penalti walaupun dijatuhkan pihak lawan.

Keputusan pengadil yang seakan-akan tidak memihak kepada juara Piala FA itu semakin jelas apabila Arif Aiman tidak mendapat layanan adil selepas dijatuhkan kali kedua pertahanan Kawasaki Frontale.

Meskipun pengadil menggunakan bantuan VAR, mereka masih memilih untuk menidakkan keputusan untuk memberikan sepakan penalti.

"Memaki hamun tengok pengadil begini, VAR (Video Bantuan Pengadil) itu lempar dalam kandang lah kalau tidak reti sangat nak guna," kata penyokong JDT, Afif Selatan.

"Pertama kali itu memang nampak aa42 (Arif Aiman) dah lompat sikit baru kaki dia kena kaki penjaga gol tapi yang kedua itu memang jelas penalti...pengadil berat sebelah! Setidak-tidaknya tengoklah VAR!!," luah penyokong, Batuil Mosh.

Malah, ada juga penyokong yang mengkritik aksi terburu-buru Syihan kerana dianggap ianya akan menjadi duri dalam daging buat Harimau Selatan lalu menguntungkan skuad Kawasaki untuk menambah jaringan.

Keputusan 1-0 kekal hingga penghujung wisel penamat. Selepas ini, JDT akan berkunjung ke laman Kawasaki untuk aksi timbal balik pada 28 November 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram