TEKANAN peningkatan kos sara hidup yang membebankan rakyat Malaysia merupakan masalah yang seakan-akan tidak berpenghujung.
Isu tersebut dilihat terus menjadi masalah utama membelenggu masyarakat meskipun kerajaan sudah bertukar ganti sebanyak tiga kali dalam tempoh tiga tahun lalu.
Pada masa sama, dampak kepada catatan inflasi di Malaysia yang direkodkan masih terkawal tahun ini juga didapati seakan-akan tidak turut dirasai oleh rakyat Malaysia secara umumnya.
Tidak cukup dengan itu, negara pada awal bulan ini turut dikejutkan dengan pengumuman kenaikan harga beras import yang meningkat sehingga mencecah 36 peratus.
Kesannya, peningkatan tersebut mula dirasai oleh rakyat Malaysia yang mana beras merupakan antara salah satu makanan utamanya.
Berkongsikan mengenai perkara tersebut, salah seorang pengguna Facebook, Busseroa Abd Jalil II berkata, hasil tinjauannya ketika berbelanja di sebuah pasar raya, harga jualan beras import membabitkan beberapa jenama merekodkan peningkatan sehingga mencecah 39 peratus berbanding sebelum ini.
"Saya pengguna beras Jasmine Sunwhite (beras import). Minggu lepas saya beli 10 kilogram (kg) RM65. Kalau bosan saya beli beras Floral, 10kg kira-kira RM45. Hari ini (Sabtu), saya pergi Giant dan nampak beras Jasmine Sunwhite (kini berharga) RM72.50.
"Beras Floral melonjak sampai RM75. Beras super import, 5kg RM25.25. 5 kg ok! Bukan 10 kg. Tahniah rakyat Malaysia. Ini hadiah untuk kita semua," tulisnya dengan nada menyindir di hantaran tersebut.
Media pada minggu ini turut melaporkan mengenai kekurangan beras tempatan yang berlaku hampir di seluruh negara. — Gambar hiasan
Menurutnya, meskipun ada pihak mencadangkan untuk menukarkan penggunaan kepada beras tempatan yang tidak mengalami kenaikan harga, ia disifatkan bukan satu langkah pilihan yang boleh diharapkan.
Media pada minggu ini turut melaporkan mengenai kekurangan beras tempatan yang berlaku hampir di seluruh negara.
Untuk rekod, tahap sara diri (SSL) bekalan beras negara kini berada di paras 62 peratus, iaitu satu tahap yang disifatkan sedikit membimbangkan.
Ini kerana ia mendedahkan negara kepada gangguan bekalan sekiranya berlaku sebarang perubahan yang menjejaskan bekalan beras yang diimport.
Dalam kenyataan pengumumannya berkenaan kenaikan harga tersebut, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) yang merupakan pengimport tunggal beras import itu berkata, pelarasan yang dibuat itu adalah selari dengan harga global semasa bagi ruji makanan terbabit.
Jelas kenyataan itu lagi, peningkatan yang dirasai di peringkat global itu antara lain disumbangkan faktor tidak dapat diramalkan seperti perubahan iklim, kadar pertukaran mata wang asing semakin lemah, kos operasi tinggi dan konflik serantau.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Pada masa sama, India yang merupakan pengeksport beras terbesar dunia pada 20 Julai lalu turut melaksanakan sekatan mengeksport beras putih bukan basmati untuk mengekalkan harga domestik di negara itu pada paras selesa menjelang pilihan raya umum yang dijadualkan berlangsung pada awal 2024.
Dalam pada itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pada 5 September lalu berkata, kerajaan memerlukan tempoh sebulan untuk memulihkan bekalan beras putih tempatan di seluruh negara.
Katanya, kerajaan kini sedang melaksanakan langkah intervensi segera antara lain dengan meningkatkan 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran seluruh negara.
Sementara itu, di ruangan komen pada hantaran dibuat Busseroa Abd Jalil II, rata-rata warganet turut melahirkan kerisauan mereka terhadap kenaikan harga beras tersebut.
"Allahu...takutnya tengok harga...Siapa-siapa yang selalu bergaul dengan rakyat marhaen akan tahu betapa pedihnya hati mereka," ujar Habibah Md Shah.
"Walaupun beras tempatan tak naik harga, tapi kuantiti tak cukup untuk menampung keperluan," tulis Mohd Saifful Nizam. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram