
KELAB Liga Super, Selangor FC kini boleh menarik nafas lega selepas ayam tambatan mereka iaitu Faisal Halim sudah boleh beraksi.
Sebelum ini, Faisal digantung oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas melakukan kesalahan tatatertib pada bulan April usai perlawanan menentang Sabah FC.
Oleh kerana hukuman yang diberikan, Faisal terlepas lima aksi iaitu menentang Johor Darul Takzim, Kuala Lumpur City FC dan Negeri Sembilan FC dalam saingan Liga Super termasuklah dua perlawanan pusingan 16 pasukan Piala Malaysia bertemu PDRM FC.
Kini, pemain Harimau Malaya itu boleh sekali kembali ke padang bersama-sama Gergasi Merah selepas tempoh hukumannya tamat.
Malah, Selangor FC turut memberikan hint pemain tersebut akan diturunkan selepas gambar Faisal sudah sampai di Kota Bharu bagi aksi Liga Super menentang Kelantan FC disiarkan.
Dalam siaran tersebut, wajah Faisal terpampang di samping Brendan Gan, Fazly Mazlan dan Khairulazhan Khalid dan ini nyata memberikan keterujaan buat penyokong Selangor FC yang merindukan aksi pemain bertubuh kecil itu.
Ada penyokong yang berasakan Faisal akan kembali dalam senarai pemain sebaik sahaja dia diturunkan oleh Tan Cheng Hoe.
"Bagi dua gol boleh?," pinta penyokong bernama Ahlong Fadzil.
"Ayuh Faisal kasi mengamuk Jumaat ni," kata Uzaiez Farhan.
"Saya boleh dengarkan 'siuuu' dari gambar ini," tulis Ammir Rosli.
Dengan kembalinya Faisal ia memberikan keterujaan berganda buat penyokong Selangor FC kerana pemain itu akan sekali lagi bergandingan dengan Ayron del Valle.
Walaupun kembalinya Faisal berpotensi untuk membayangi rekod Ayron sebagai penjaring terbanyak Liga Super, tetapi penyokong Gergasi Merah tidak kisah asalkan pemain mereka memenangi kasut emas pada akhir musim.
Ayron del Valle kini merupakan pencabar utama penjaring terbanyak Liga Super. — Facebook/Selangor FC
"Tak dapat duduki tangga pertama liga, dapat masuk senarai nama pemain Selangor FC jadi penjaring terbanyak pun jadilah. Harap boleh beri sokongan lebih supaya Ayron jaringkan gol," komen Khairun Anuar.
"Ayron hatrik Jumaat ni," kata Izwan Shah dengan yakin.
Keyakinan membara penyokong Selangor FC jelas terpancar memandangkan lawan mereka kini sedang dalam pelbagai masalah dalam dan luar padang.
Penyokong Kelantan FC pastinya gusar dengan potensi satu lagi kekalahan bakal diterima The Red Warriors apabila berdepan Gergasi Merah pada Jumaat.
Kombo serangan Faisal-Ayron pastinya akan memberikan bahaya yang sukar dibendung oleh pertahanan Kelantan FC. Oleh itu, mereka perlu memastikan barisan pertahanan berada dalam keadaan terbaik untuk mengekang serangan Selangor FC. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram