Dituduh 'kabel kuat', ada fans tetap positif Kalamullah jadi wakil tunggal Sang Kenari dipanggil KPG


  • Podium
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Kalamullah Al-Hafiz menjadi satu-satunya pemain KDA FC yang dipanggil ke skuad kebangsaan. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

MUSIM untuk Harimau Malaya beraksi akan tiba tidak lama lagi, dengan pengumuman oleh jurulatih Kim Pan-gon (KPG) untuk kem latihan pusat skuad kebangsaan yang bakal bermula pada 29 Ogos.

Seramai 26 pemain telah dipanggil oleh KPG dengan nama-nama hebat seperti Arif Aiman Hanapi, Dion Cools, dan Paulo Josue antara yang dipanggil bagi menguatkan Harimau Malaya.

Selain itu, bintang-bintang seperti Faisal Halim, Hong Wan dan Azam Azih juga menerima panggilan KPG bagi menambah sengat dibahagian tengah dan juga serangan.

Di posisi penjaga gol, KPG memanggil tiga nama iaitu Syihan Hazmi, Damien Lim dan juga Kalamullah Al-Hafiz. Keputusan KPG memanggil semula Kalamullah telah membuatkan pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC) itu menyertai skuad kebangsaan selepas disisihkan pada perlawanan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea.

Panggilan semula Kalamullah telah memberikan reaksi dalam kalangan penyokong KDA FC yang menyaksikan aksinya setiap minggu.

Rata-rata penyokong berasa gembira dengan berita tersebut dengan harapan Kalamullah akan beraksi dengan lebih baik bersama-sama Malaysia dan membawa prestasi tersebut ke peringkat kelab.

"Semoga (panggilan skuad kebangsaan) menjadi motivasi dan meningkatkan mutu permainan Kalamullah. Ayuh bangkit!," kata penyokong bernama Nur Asyraq.

"All the best Kalamullah, bila bolos bukan 100% salah penjaga gol. Benda nak jadi pun boleh jadi, rakan sepasukan tersilap pun boleh jadi. Fight!," komen Najmeen An-Naseeri.

"Semoga berjaya Kalamullah, belajarlah dari pengalaman. Yang sibuk cakap banyak tu cuba tengok jadi keeper. Dia pun tak mahu jadi macam tu," ujar Azita Azhar Azita Hamzah.

KALAM2

Kalamullah menjadi sasaran kecaman penyokong Sang Kenari kebelakangan ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

Penyokong KDA FC jelas positif dengan berita ini dengan mereka begitu mengharapkan Kalamullah akan beraksi dengan lebih baik selepas ini.

Namun begitu, tetap ada yang mempersoal tindakan KPG memanggil mantan penjaga gol PJ City FC tersebut. Malah, ada mengatakan seolah-olah Kalamullah ada 'kabel' untuk menyertai skuad kebangsaan.

Tetapi, kalau dah pemain kelab sendiri, sokongan tetaplah akan diberikan walaupun prestasi tengah tidak berada pada tahap terbaik.

"KPG buta barangkali," komen Amirul Asywandi ringkas.

"Pandai tangkap biawak pun, (masih) dapat panggilan skuad kebangsaan lagi. Kabel kuat sungguh dia ni," tulis Mark Ayiee.

KALAM

Kalamullah melakukan kesilapan ketika tewas kepada Perak FC dalam aksi Piala Malaysia. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

"Walaupun aku tak rasa Kalamullah layak dapat panggilan kali ini, tapi sebagai penyokong aku ucap tahniah dan berjuanglah sejiwa murni," kata Paradox Azhar pula.

Untuk rekod, hanya Kalamullah pemain KDA FC yang mendapat panggilan kali ini. Satu lagi nama iaitu Fayadh Zulkifli hanya diletakkan dalam senarai menunggu.

Skuad kebangsaan akan terbang ke Chengdu bagi menghadapi dua perlawanan persahabatan menentang Syria dan China yang diadakan pada September kelak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram