PERAK FC sebelum ini mengejutkan banyak pihak susulan berjaya menjinakkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2023 dengan kemenangan 3-1.
Dengan disaksikan lebih 4,000 penyokong yang hadir di Stadium Perak di Ipoh pada 3 Ogos lalu, pertembungan kedua-dua pasukan yang berpangkalan di Utara tanah air itu dikatakan penuh dengan elemen kejutan dan kontroversi.
Kemenangan di luar jangka itu seolah-olah memberi gambaran bahawa pasukan lain sudah tidak boleh lagi memandang rendah pada kekuatan skuad The Bos Gaurus (TBG).
Ini kerana, skuad Sang Kenari boleh dikatakan antara pasukan terkuat dengan berada di tangga ketiga Liga Super, tapi dikejutkan dengan kekalahan di tangan Perak pada Khamis lalu.
Melihat pada kebangkitan skuad kendalian Yusri Che Lah dalam aksi itu, ramai penyokong dilihat mula menggeruni pasukan Seladang dan berharap agar pemain mereka lebih bersedia melaksanakan taktikal yang diatur untuk berdepan kelab berkenaan.

TBG dijadualkan bertemu Penang FC dalam aksi Liga Super pada 9 Ogos depan. — Facebook/ Perak All Legend
Antaranya, penyokong Penang FC yang mula merasai debaran itu apabila pasukan kesayangan mereka dijadualkan bertemu skuad Seladang dalam aksi Liga Super pada Rabu.
Dengan situasi ketika ini, rata-rata penyokong meramalkan skuad Pulau Mutiara akan menempuh perlawanan yang sukar menentang TBG dan berpotensi untuk menjadi belasahan ketika aksi tersebut.
Malah, penyokong Perak juga melahirkan keyakinan terhadap keupayaan pasukan kesayangan mereka untuk memperoleh kemenangan selesa.
"Jangan risau, tiga mata buat Perak. Pasukan Penang lubuk tiga mata, Perak mahu pesta gol. Bagi Penang kalah itu lebih indah daripada menang," tulis SparTacus Meah.
"Untung Perak, lauk dah ada cuma cari nasi saja," kata Fadzlee Hashim.
"Bungkuslah Penang, Perak 2-0 Penang. Gol minit ke 10 dan 65," ujar Rizal Zainol.

Sebahagian aksi yang dipamerkan pemain Perak FC ketika menentang Kedah pada Khamis. — Facebook/MFL
Dalam keghairahan penyokong membuat ramalan yang lebih berpihak kepada Perak, terdapat juga pandangan daripada warga maya agar peminat TBG mengawal keterujaan mereka untuk mengelakkan kecewa di kemudian hari.
"Elok ikut macam coach YCL (Yusri Che Lah)...merendah diri..kalah menang itu adat," kata Mohd Faizz.
"Aku pasti Perak mesti kalah sebab fans terlalu riak dengan kemenangan pertama," tulis Shahrul Nizam.
Untuk rekod, Perak kini berada di tangga ke-11 hasil daripada 13 mata yang diperoleh selepas mengharungi 18 perlawanan.
Sementara itu, Penang FC pula ketika ini di kedudukan satu anak tangga di atas TBG, hasil daripada 19 mata yang dipungut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
