Tergelincir ketika mandi, peserta konvoi Jamboree lemas di Sungai Lebir


  • 112
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Lokasi tempat kejadian peserta Program Jamboree Peminat 4X4 ditemukan lemas di Sungai Lebir, Aring 6, pada Jumaat. — Ihsan polis

SEORANG peserta konvoi kenderaan lasak meninggal dunia akibat lemas selepas dihanyutkan arus di Sungai Lebir dekat Kampung Aring 6 di Gua Musang, Kelantan, pada petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Sik Choon Foo berkata, mayat Mohd Hanafiah Abd Hamid, 54, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada pukul 5.30 petang.

Beliau berkata, peniaga dari Putrajaya yang merupakan antara peserta Program Jamboree Peminat 4X4 Sungai Lebir itu dikatakan tergelincir ketika mandi di sungai berkenaan sebelum dihanyutkan ke kawasan air yang dalam.

"Rakan-rakannya cuba membantu, tetapi gagal dan mayat dijumpai pada pukul 5.30 petang di tempat kejadian oleh anggota JBPM dan APM,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Katanya, mayat kemudiannya dibawa ke bahagian Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat, dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram