TAHUN-TAHUN awal permulaan untuk membina kerjaya merupakan tempoh yang sangat mencabar untuk setiap anak muda.
Ini kerana waktu tersebut adalah saat yang boleh dikatakan paling genting untuk menentukan dan mencorak masa depan mereka.
Disebabkan itu, setiap individu yang melalui fasa tersebut pastinya akan menggunakan segala peluang yang ada bagi memacu perkembangan karier mereka.
Bagaimanapun, bagi Tengku Mohamad Amirul Akmal Tengku Ruslan, dia tidak mempunyai peluang dan ruang yang dimiliki seperti anak muda lain.
Ini kerana pemuda berusia 33 tahun itu berdepan laluan getir kerana disahkan mengalami hilang upaya yang ternyata memberikan cabaran sukar buatnya untuk mendapatkan pekerjaan sewaktu tempoh awal pembinaan kerjayanya.
Disebabkan status kesihatannya itu, Tengku Mohammad dirujuk kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pada April tahun lalu.
Bersama PERKESO, dia menyertai program Klinik RESTART (Reemployment Support, Treatment and Rehabilitation Teamwork), selaras dengan kelayakannya sebagai pencarum yang boleh memperoleh faedah Skim Keilatan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Klinik RESTART merupakan kerjasama pintar antara Cawangan Return to Work PERKESO bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tujuan penempatan pekerjaan.
Di bawah program itu, Tengku Mohamad yang mula mengalami hilang upaya sejak 2014 ditempatkan bagi bekerja sebagai pekerja am di sebuah syarikat pemasaran telefon pintar.
Bagaimanapun, berita baik tersebut ternyata tidak kekal lama apabila dia diberhentikan majikannya yang memaklumkan syarikat itu tidak menerima pekerja yang mengalami hilang upaya.
Dugaan tersebut sememangnya memberikan tamparan hebat kepadanya yang baru sahaja mendapat sinar harapan selepas menyertai program tersebut tidak sampai setahun.
Namun, sebagai seorang pemuda yang cekal, perkara itu tidak memutuskan semangat Tengku Mohamad untuk kembali bangkit.
Hasil bimbingan dan penyelarasan daripada pengurus kes dan pihak hospital di bawah program PERKESO, dia mendapat suntikan semangat baharu untuk mengusahakan perniagaan bengkel kereta dengan nama Amirul Aircond Services sejak 26 Mac lalu.
Tengku Mohamad (dua dari kiri) menerima sumbangan tajaan daripada PERKESO untuk bengkelnya. — PERKESO
Usaha yang turut mendapat bimbingan RTWPreneur PERKESO itu dibuat berbekalkan kepakaran dan kemahiran ditimba menerusi pengajian Diploma Kejuruteraan Mekanikal sebelum ini dan kini membolehkannya memperoleh pendapatan lebih RM1,000 sebulan.
Kisah ketabahan Tengku Mohamad itu turut mendapatkan perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed yang tampil menziarahinya di bengkel tersebut yang terletak di Kampung Hutan Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan, Kota Bharu, Kelantan.
Dalam lawatan pada Ahad itu, Mohammed Azman turut menyerahkan peralatan bengkel kereta tajaan Program Cakna Prihatin dengan nilai keseluruhan berjumlah RM4,060.
Tidak cukup dengan itu, Tengku Mohamad turut dijadual untuk mengikuti Kursus Asas Keusahawanan bagi memperkasa asas kemahiran dan memangkin perkembangan perusahaan bengkel yang mampan.
Return To Work (RTW) merupakan program pengurusan hilang upaya yang dilaksanakan PERKESO dalam membantu pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk dipulihkan dan kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat.
Setiap pencarum PERKESO yang mengikuti program ini akan melalui proses pemulihan sistematik dan berteraskan konsep biosikososial merangkumi faktor biofizikal, psikologikal dan sosial yang perlu ditangani dalam membantu mereka kembali semula bekerja.
Perlindungan keselamatan sosial disediakan PERKESO kepada pekerja yang terbencana bukan sahaja meliputi pampasan kewangan seperti bayaran faedah, tetapi juga peralatan pemulihan dan perubatan serta rawatan rehabilitasi dan menerusi Program RTW. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram