
SELEPAS terpalit dengan isu tunggakan gaji yang dialami Kelantan FC sejak awal musim lalu, pertahanan berusia 24 tahun, Gerald Gadit memilih untuk kembali ke pangkuan Sabah FC.
Berdasarkan satu hantaran di laman media sosial Malayantigerfans pada Khamis, penghijrahan tersebut dibuat meskipun kontrak pemain itu pada awalnya berlanjutan sehingga penghujung musim.
"Pemain Sabah FC yang dipinjamkan ke The Red Warriors (TRW) musim ini iaitu Gerald Gadit, kembali ke pangkuan kelabnya," tulis penyokong bola sepak tempatan itu.
Kepulangannya dijangka berpunca daripada kegagalan kelab Pantai Timur tersebut untuk membayar gaji sebagaimana diminta bek kelahiran Tenom, Sabah itu.
Selain itu, kehadirannya seakan-akan tidak dihiraukan pihak pengurusan Kelantan FC yang lebih berminat untuk meletakkannya di bangku simpanan.
Berdasarkan statistik setakat separuh musim, Gerald hanya beraksi dalam lima perlawanan Liga Super dengan aksi menentang Sri Pahang FC pada Jun merupakan penampilan terakhirnya.
Jadi, kepulangannya itu dijangka akan menambah baik prestasi benteng pertahanan skuad Sang Badak yang dibolosi sebanyak 24 kali dalam 18 perlawanan.
Gerald lebih kerap memanaskan bangku simpanan bersama Sabah FC musim lalu. — Instagram/geraldgadit
Tambahan pula, Sabah FC yang bakal bertanding dalam Piala AFC tidak lama lagi pastinya berhasrat untuk membuat penggiliran dengan kerap bagi mengelakkan isu kecederaan berlaku.
Namun, pandangan itu sepertinya tidak dikongsikan penyokong pasukan Borneo berkenaan yang berpendapat Gerald akan sekali lagi bergelut untuk mendapatkan minit permainan.
"Tetapi, saya rasa dia juga akan susah untuk berada dalam kesebelasan utama, tengok sahaja situasi Rawilson (Batuil)," kata Norfaris Patrick.
"Kamu percayalah, dia ni macam Rawilson juga nanti, seronok tengok kawan-kawan main. Hanya panaskan bangku simpanan sahaja," kata Yiyi.
Musim lalu, bek tengah itu lebih kerap dimasukkan pada minit-minit permainan apabila dia hanya mencatatkan satu penampilan dalam kesebelasan utama.
Isu tersebut dilihat berpunca daripada lambakan pemain pertahanan berkualiti, termasuk Dominic Tan serta Jackson de Souza yang lebih kerap beraksi.
Musim ini pula, benteng pertahanan Sabah FC dikuatkan lagi dengan kehadiran Irfan Zakaria dan Gabriel Peres yang sedikit sebanyak memberi sumbangan penting buat skuad Sang Badak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram