PERLAWANAN akhir bola sepak Piala FA 2023 menutup tirai selepas pasukan gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) muncul juara menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Sabtu.
Kejayaan skuad Harimau Selatan itu disaksikan oleh ribuan penonton yang hadir memberikan sokongan kepada pasukan tuan rumah mahupun KL City FC.
Kemenangan skuad kendalian Estaban Solari tersebut merupakan piala kedua untuk tahun 2023, setelah memenangi Piala Sumbangsih awal tahun ini serta Piala FA ketiga buat JDT, selepas tahun 2016 dan tahun 2022.
Dalam pertembungan sengit itu, kedua-dua pasukan saling memberikan tekanan untuk menjadi pendahulu perlawanan sekali gus ingin merebut gelaran juara.
Bagaimanapun, pemain tengah pertahanan JDT, Nathaniel Shio Hong Wan membuka tirai jaringan pada minit ke-66 dengan menjaringkan gol hebat yang meletakkan JDT di kedudukan selesa pada babak kedua manakala gol kemenangan disempurnakan oleh Leandro Velazquez, kira-kira lapan minit kemudian (m-74).
Persamaan minit jaringan ketika pertemuan JDT-KL pada aksi Piala Malaysia 2021 (kiri) dan Piala FA 2023 (kanan).
Bagaimanapun, industri bola sepak tanah air dikejutkan dengan persamaan minit jaringan ketika final Piala Malaysia 2021 dan Piala FA 2023 yang juga menyaksikan pertembungan sekali lagi antara kedua-dua pasukan tersebut.
Untuk rekod, dalam saingan final Piala Malaysia 2021, KL muncul juara selepas menang 2-0 ke atas JDT menerusi jaringan Zhafri Yahya minit ke-66 dan gol kemenangan Paulo Josue (m-74).
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, Puteri Miera Zali mengatakan bahawa persamaan minit jaringan tersebut seolah-olah dirancang.
"Suratan atau kebetulan di mana minit jaringan gol sama dengan perlawanan akhir Piala Malaysia tahun 2021 minit ke-66 dan ke-74.
"Misi balas dendam pada kekalahan perlawanan akhir direalisasikan apabila JDT berjaya menundukkan KL City 2-0," katanya dalam hantaran tersebut.
Keputusan perlawanan tersebut dilihat seperti mengimbau kembali perlawanan akhir Piala Malaysia 2021 yang dijuarai oleh The City Boys.
Untuk rekod, KL City menewaskan JDT 2-0 menerusi jaringan Zhafri Yahya minit ke-66 dan gol kemenangan Paulo Josue lapan minit kemudian dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 2021. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram