KONSISTENSI adalah satu perkara penting dalam setiap pemain bola sepak tidak kira di mana mereka bermain. Contoh pemain yang sentiasa konsisten mengekalkan prestasi terbaiknya ialah pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Tahap kemajuan dan kematangan yang dicapai Arif Aiman ketika ini amat mengagumkan dan dia juga dianggap sebagai pemain muda yang bakal mencipta nama di luar negara suatu hari nanti.
Namun begitu, di saat Arif Aiman melakar sejarahnya dalam industri bola sepak, ada dalam kalangan pemain yang hanya tampil hebat untuk tempoh semusim.
Meskipun ada pemain sewaktu mudanya mendapat perhatian daripada beberapa kelab terkenal tanah air, tidak dapat dinafikan ada di antara mereka yang semakin pudar daripada Liga Malaysia (Liga M).
Faktor seperti masalah kecederaan, pemilihan kelab dan gagal bersaing dikatakan menjadi punca sebilangan daripada pemain itu tiba-tiba mengalami kemerosotan kancah bola sepak domestik.
Kali ini, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang dulunya digelar prospek bola sepak negara namun kian hilang sengatnya:
1. Khuzaimi Piee
Khuzaimi hanya tampil dalam tujuh perlawanan Liga Super bersama Gergasi Merah pada musim ini. — Facebook/SelangorFC
Sejak kebelakangan ini, segalanya tampil dengan tidak begitu baik buat pertahanan kental Selangor FC, Ahmad Khuzaimi Piee dalam menaikkan mutu permainnanya ke arah lebih baik.
Pemain berusia 28 tahun itu menyertai The Red Giants dari Negeri Sembilan pada musim ini dengan status sebagai pertahanan paling menyerlah musim lalu.
Namun, bekas pemain Harimau Malaya sejak tahun lalu bagaimanapun gagal meraih minit permainan yang diharapkan selain kecederaan ketika Piala AFF tahun lalu terus menghantui sekali gus menyebabkan dia dilihat jarang diturunkan.
2. Faiz Nasir
Faiz Nasir pernah menerima jolokan 'Messi Terengganu'. — Facebook/SelangorFC
Nama pemain Faiz Nasir sudah tidak asing lagi dalam kalangan peminat Terengganu FC pada suatu ketika dahulu. Hal ini kerana dia yang diberi jolokan nama "Messi Terengganu' pernah mempamerkan aksi yang terbaik pada sebelum berpindah ke Selangor FC.
Namun, skuad Gergasi Merah yang ketika itu dikendalikan B Sathianathan berdepan kesukaran dalam mencari formula terbaik buatnya.
Meskipun tampil dalam majoriti aksi Liga Super, pemain berasal dari Kelantan itu itu hanya menjaringkan satu gol dalam 18 perlawanan ketika itu.
Dia kemudiannya memilih untuk pulang ke Pantai Timur bagi menghidupkan semula kariernya yang ketika dilanda beberapa siri kecederaan dan masalah kecergasan.
Walaupun begitu, dia masih tidak dapat mempamerkan aksi yang terbaik sehingga menyebabkan dia semakin tersisih daripada skuad.
Melihat kepada prestasi tersebut,demi kelangsungan kariernya, Faiz berhijrah secara pinjaman ke Kelantan United FC (KUFC) dengan harapan dapat mengambalikan kariernya ke tahap yang lebih baik.
3. Nurshamil Abd Ghani
Nurshamil pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana musim 2021 dan 2022 kategori tempatan. — Facebook/KelantanUnitedFC
Bekas penyerang Kelantan FC, Nurshamil Abd Ghani memilih untuk kekal di Liga Super dengan menyertai Kuching City FC ekoran daripada masalah dalaman kelab tersebut.
Walaupun pernah dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Perdana musim 2021 dan 2022 kategori tempatan prestasinya tahun ini dilihat terus merosot.
Ketika bersama skuad The Red Warrior (TRW), dia hanya merekodkan tujuh penampilan sebagai pemain gantian bersama kelab Pantai Timur itu musim ini dan hanya menjaringkan satu gol.
Jadi, dengan dia sudah memilih untuk menyertai skuad The Cats, terdapat harapan agar Nurshamil dapat mengembalikan semula tahun-tahun kegemilangannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram