Gol Ingreso buktikan jeneral berdarah kacukan perlu jadi tonggak Tok Gajah


  • Podium
  • Isnin, 10 Jul 2023

Ingreso bermain dengan cukup baik dari segi bertahan mahupun menyerang. — Facebook/Sri Pahang FC

TIGA kemenangan berturut-turut dalam Liga Super berjaya direkodkan Sri Pahang FC apabila menumpaskan Selangor FC 1-0 di laman sendiri pada Ahad.

Gol daripada pemain tengah, Kevin Ingreso pada minit ke-50 sudah cukup untuk memisahkan kedua-dua pasukan dengan skuad Tok Gajah kini sudah terikat dari segi mata dengan lawan mereka itu dalam aksi di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang.

Tumpuan semestinya diberikan kepada penjaga gawang Tok Gajah, Zarif Irfan yang beraksi dengan cukup baik sepanjang 90 minit permainan.

Ketangkasan yang dipamerkannya membolehkan kelab Pantai Timur berkenaan meneruskan rekod cemerlang dari segi pertahanan memandangkan mereka hanya dibolosi 14 kali ketika ini.

Meskipun digugurkan pada awal musim dengan tempatnya diambil Izham Tarmizi, Zarif terus komited untuk mempamerkan bakatnya setiap kali diberikan peluang.

358416214_643315327830502_1929816651459883687_n (1)

Ruziev juga diangkat sebagai antara pemain terbaik perlawanan bagi skuad Tok Gajah. Facebook/Sri Pahang FC

Selain itu, import baharu mereka, Kuvondik Ruziev juga dinamakan sebagai antara pemain terbaik perlawanan meskipun tidak melakukan sumbangan dari segi jaringan.

Kebolehannya untuk mengawal rentak permainan wajar diberikan pujian memandangkan ia merupakan penampilan sulungnya dalam skuad Tok Gajah.

Sebelum ini, pemain kebangsaan Uzbekistan tersebut sering dikritik ramai apabila dia tidak mempunyai statistik dan reputasi cukup baik di luar negara.

Namun, sepanjang diturunkan selama 78 minit di hadapan ribuan penyokong, jeneral tengah berusia 28 tahun itu mudah melenyapkan segala tanggapan terhadapnya.

Bagaimanapun, melihat kepada kesemua yang diletakkan ketua jurulatih, Fandi Ahmad di atas padang, gelaran pemain terbaik perlawanan lebih wajar diberikan kepada Ingreso.

Melihat kepada statistiknya sepanjang musim, pemain berusia 30 tahun berkenaan hanya mencetak satu gol dalam Liga Super ketika aksi berdepan Kelantan FC pada Mac lalu.

Jadi, dengan gol yang dijaringkan ketika berdepan Selangor FC, ia menaikkan lagi namanya sebagai salah seorang tonggak buat skuad Tok Gajah.

Sumbangan Ingreso tidak terhenti di situ apabila dia juga bijak membaca gerakan lawan dengan dia kerap mengecewakan gerakan serangan pemain Gergasi Merah.

358072303_643408897821145_5684701324524692362_n

Ingreso sudah mencatatkan dua gol dan dua bantuan jaringan dalam 12 penampilan Liga Super. Facebook/Sri Pahang FC

Oleh itu, persembahan bertenaga pemain kebangsaan Filipina terbabit sudah cukup untuk mengukuhkan lagi kedudukannya dalam kesebelasan utama buat baki musim Liga Super 2023.

"Tadi risau nak dapatkan gol, tapi tiba-tiba Ingreso boleh pula gol. Lepas ni, memang tak boleh nak gugurkan dialah," kata Imran Rozlan.

"Nasib baiklah si Ingreso ni boleh baca perlawanan, dapatlah juga dia skor. Banyak juga dia kacau hantaran lawan," kata Ketty Jannah.

"Alhamdulillah, lepas ni Fandi kena beri kepercayaan untuk Ingreso. Kalau nak gilirkan, mungkin boleh. Tapi, dia memang penting," kata Hector Ambrose.

Setakat ini, pemain berdarah kacukan Jerman-Filipina tersebut sudah mencatatkan 12 penampilan dengan dua gol dan dua bantuan jaringan sudah direkodkan.

Kemenangan yang diraih Sri Pahang FC itu juga menyaksikan kelab Pantai Timur berkenaan menduduki tangga ketiga dengan kutipan mata sama dengan Selangor FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram