SRI Pahang mencatatkan kemenangan kali ketiga berturut-turut dalam Liga Super selepas menundukkan Selangor FC di laman sendiri pada Ahad.
Deria penyudah yang cukup baik daripada pemain tengah Tok Gajah, Kevin Ingreso pada minit ke-50 membolehkan tiga mata dikutip pasukan Pantai Timur itu di Stadium Darul Makmur.
Namun, apa yang lebih mencuri perhatian adalah apabila skuad kendalian Fandi Ahmad cukup berdisiplin dari segi pertahanan sehingga menyebabkan skuad Gergasi Merah buntu.
Gabungan Michael Glassock dan Fadhli Shas yang diberikan kepercayaan oleh pihak kejurulatihan jelas memberi kelebihan dengan mereka beraksi cukup cemerlang sepanjang 90 minit permainan.
Tetapi, pujian sepatutnya diberikan kepada penjaga gol, Zarif Irfan Hashimuddin yang diturunkan bagi menggantikan pemain pinjaman, Izham Tarmizi.
Ketangkasan Zarif membantu skuad Tok Gajah mencatatkan kemenangan berharga. — Facebook/Sri Pahang FC
Ketangkasan yang dipamerkannya membolehkan rekod pertahanan Sri Pahang FC terus cemerlang meskipun Selangor FC hadir dengan jentera serangan yang tajam.
Ia dapat dibuktikan pada separuh masa pertama dengan dia menggagalkan situasi 'satu lawan satu' antaranya dengan kapten skuad Gergasi Merah, Mukhairi Ajmal.
"Kekalkan Zarif sebagai penjaga gawang utama, Izham tu boleh dikembalikan ke tempat asalnya," kata Iqbal Roslani.
"Bila tengok perlawanan ini, baru tahu bahawa Zarif perlu dikekalkan sebagai penjaga gol pertama untuk Pahang," kata Amirullah Alwi.
Ruziev mencatatkan penampilan sulung bergaya bersama skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Sementara itu, pujian juga wajar diberikan kepada pemain import baharu Sri Pahang, Kuvondik Ruziev dengan dia bijak mengucar-ngacirkan pemain Selangor FC.
Walaupun ia merupakan penampilan pertamanya dalam arena bola sepak tempatan, pemain kebangsaan Uzbekistan dikatakan tidak kekok untuk menyesuaikan diri.
"Terbaik jentera baharu Pahang iaitu Ruziev. Rafael (Silva) kita hanya perlu menunggu minggu hadapan untuk persembahan yang lebih baik," kata Shah Nieysha.
"Sepatutnya kita perlu memberi kepercayaan lebih kepada Ruziev untuk perlawanan selepas ini. Harap dia dapat terus berada dalam kesebelasan utama," kata Zakaria Halim.
Selepas ini, Sri Pahang FC bakal berdepan Sabah FC pada Sabtu dengan ia membuka peluang buat mereka menduduki tangga kedua Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram