'Rupanya arwah mak nak tunggu result kamu'


  • Massa
  • Ahad, 11 Jun 2023

Mumtaz (kanan) ketika melawat Muhammad Syahril (kiri) di rumahnya pada Jumaat. — Facebook/MumtazMd NawiOfficial

PEMERGIAN ibu kepada pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Muhammad Syahril Saidi, 18, merupakan satu berita yang agak mengejutkan buat seluruh rakyat Malaysia.

Ini selepas baru sahaja beberapa hari lalu kisahnya berjaya memperolehi 11A meskipun perlu berkorban menjaga ibunya yang terlantar sakit tular dan menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.

Kesungguhan Muhammad Syahril menjaga ibunya juga terbukti apabila pihak sekolah terpaksa hadir ke rumahnnya bagi menyerahkan keputusan tersebut kerana dia tidak dapat meninggalkan ibunya yang sakit di rumah.

Namun begitu, tidak sampai tiga hari berita keputusan cemerlangnya itu tiba di rumah, pelajar cemerlang itu disusuli dengan berita duka pemergian ibunya yang meninggal dunia pada Sabtu, selepas hampir empat tahun terlantar sakit.

Allahyarhamah Tuan Faridah Tuan Ismail, 53 dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar pada pukul 8.20 malam.

spm

Muhammad Shahril (dua dari kiri) ketika menerima salinan keputusan SPM yang diserahkan oleh pihak sekolah sambil disaksikan ibunya yang terlantar sakit di atas katil.

Ajal dan maut sememangnya di tangan ALLAH.

Tetapi netizen menyifatkan waktu pemergian ibu Muhammad Syahril yang merupakan pelajar pelajar Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman, Beris Lalang, Bachok, Kelantan itu umpama menyaksikan kebesaran ALLAH yang merupakan sebaik-baik perancang.

"Rupanya arwah mak tunggu result kamu dik. Percayalah arwah pegi dengan penuh tenang. Jadi tugas kamu sekarang, teruskan dengan menuntut ilmu hingga ke peringkat tertinggi. Al Fatihah buat arwah," tulis Tengku Asterro.

"Baiknya Allah beri kesempatan untuk melihat anaknya berjaya malah disebut-sebut di seluruh negara.

"Semoga adik ini tenang dan kuat menjalani liku-liku mendatang walaupun sudah tiada lagi doa dari ibu dan ayah," kata Myzatul Akma Abdullah.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Mumtaz Md Nawi yang turut membuat lawatan ke rumah arwah beberapa hari sebelum pemergiannya turut berkongsikan detik terakhir pertemuannya bersama ibu Muhammad Syahril.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, berkata, arwah sangat terharu dengan keraian yang diberikan terhadap kejayaan anaknya.

"Dalam keadaan yang sangat lemah, semalam dia hulur tangan saya dan ucapkan terima kasih dalam penuh kesyahduan. Perlahan tapi bermakna, tangannya panas macam demam.

"Tapi doktor beritahu tak demam, dia terharu orang ramai datang raikan anaknya. Dia sangat gembira tapi dia sgt uzur," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram