IBU kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memperoleh 11A, Muhammad Syahril Saidi, 18, meninggal dunia akibat penyakit angin ahmar, pada Sabtu.
Pengetua Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Iman Beris Lalang, Bachok, Kelantan, Noor Ruziana Ismail ketika mengesahkan perkara itu berkata, Allahyarhamah Faridah Ismail, 54, menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 8.45 malam.
Katanya, jenazah akan disembahyangkan di Kompleks Masjid al-Qudus, Kandis, Bachok, Kelantan pada pukul 10 pagi Ahad.
"Saya terima panggilan mengenai pemergian arwah lebih kurang pukul 8.45 malam tadi (Sabtu) dan saya mewakili pihak sekolah ingin mengucapkan takziah kepada keluarga Muhammad Syahril dan Insya-Allah selepas ini kami akan sampaikan sumbangan atau bantuan yang diperlukan beliau," katanya ketika dihubungi Bernama.
Sebelum ini, tular kisah Muhammad Syahril selepas pelajar itu tidak dapat hadir untuk menerima keputusan spm pada Khamis lalu kerana perlu menjaga ibunya yang menghidap penyakit angin ahmar sejak 2019 dan pihak sekolah hadir ke rumahnya untuk menyerahkan keputusan cemerlang yang diperoleh beliau. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram