Set 'defend' JDT di skuad kebangsaan kurang ampuh, fans anggap 'GK, tanker' terlalu selesa di pentas domestik


  • Podium
  • Khamis, 15 Jun 2023

Sebahagian aksi Feroz dalam aksi menentang Kepulauan Solomon pada Rabu. — Facebook/FAM

PERSEMBAHAN bertenaga yang dipamerkan skuad Harimau Malaya dalam aksi persahabatan Tier 1 memastikan mereka menang dengan keputusan selesa 4-1 ke atas Kepulauan Solomon pada Rabu.

Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu, pasukan negara ketinggalan seawal minit ke-11 apabila pasukan pelawat menjaringkan gol menerusi Raphael Lei'a.

Namun, asakan daripada anak-anak buah Kim Pan-gon akhirnya membuahkan hasil apabila mereka meraih kemenangan menerusi gol daripada Paulo Josue, Arif Aiman Hanapi, Safawi Rasid dan Lee Tuck.

Kejayaan itu pastinya memberikan tonik buat skuad kebangsaan menjelang aksi Piala Asia 2023 yang bakal diadakan di Qatar pada awal tahun depan.

354041336_963330624740174_2399249106074541990_n

Matt Davies dalam aksi menentang Kepulauan Solomon pada Rabu. — Facebook/FAM

Tambahan pula, penyokong pastinya tersenyum melihat kebolehan pemain, terutamanya dalam aspek menyerang apabila mereka mudah menjaringkan empat gol.

Bagaimanapun, lain pula kisahnya apabila rata-rata peminat bola sepak tempatan mula mempersoalkan kealpaan benteng pertahanan pada separuh masa pertama permainan.

Ia berikutan kelekaan penjaga gol, Syihan Hazmi yang melakukan kesilapan sehingga dihukum pihak lawan untuk mendapatkan gol sulung mereka dalam aksi berkenaan.

Bagi mereka, kesalahan sebegitu tidak pernah dilakukannya ketika beraksi di peringkat kelab bersama Johor Darul Takzim (JDT) yang mana dia diangkat sebagai antara penjaga gawang tempatan terbaik.

Tidak cukup dengan itu, bentang pertahanan dalam aksi itu 'dibina' Pan-gon menggunakan hampir keseluruhan tonggak skuad Harimau Selatan.

GK tanker

Matt Davies, Shahrul Saad, Feroz Baharudin dan Corbin Ong yang memulakan perlawanan tersebut sememangnya menjadi sandaran memandangkan masing-masing mempunyai rekod cemerlang di peringkat domestik.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila komen yang kini membanjiri media sosial mula mempertikaikan kualiti mereka semasa beraksi buat skuad kebangsaan.

"Main kat JDT jarang bolos sebab kurang diuji. Main dengan pasukan negara, akhirnya bolos juga," kata Emier Danish Haniff.

"Selama ni, dapat lawan mudah dan barisan pertahanan yang mantap, memanglah jarang bolos. Ini ketika Kepulauan Solomon datang, mulalah buat hal," kata Mohamad Muaz.

"Sepatutnya, tidak perlu untuk Syihan keluar jauh sebegitu kerana ada pemain pertahanan yang mengekori, tetapi dia keluar juga," ujar Remy Eimiarieza pula.

Pasukan kebangsaan bakal berdepan Papua New Guinea untuk aksi persahabatan kedua pada 20 Jun di venue sama sebelum kalender FIFA dilabuhkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram