[VIDEO] Sanusi disiasat kerana menghasut, Anwar minta tunggu tindakan lanjut Peguam Negara


  • Primer
  • Selasa, 06 Jun 2023

Anwar mendakwa Sanusi kenyataan tersebut sengaja dibangkitkan sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kini disiasat di bawah Akta Hasutan susulan tindakannya menggesa Perlembagaan Persekutuan dipinda supaya Pulau Pinang dapat dikembalikan kepada Kedah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan mengenai perkara itu telah dikemukakan kepada Peguam Negara dan menunggu untuk diambil tindakan selanjutnya.

“Sebagai seorang yang berkedudukan tinggi, kenyataan sedemikian adalah tidak bertanggungjawab.

"Polis telah memulakan siasatan berdasarkan undang-undang sedia ada bagi memastikan kenyataan yang bertentangan dengan prinsip Perlembagaan dan undang-undang tidak akan berulang.

"Beberapa laporan telah diserahkan kepada Peguam Negara dan sedang menunggu tindakan," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Guan Eng sebelum ini meminta penjelasan daripada Perdana Menteri berhubung dakwaan Muhammad Sanusi yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk Pulau Pinang dan dikhuatiri turut mengancam keharmonian serta keamanan negara.

Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan mendakwa Pulau Pinang berada di bawah hak milik Kedah.

Sementara itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mendakwa kenyataan tersebut sengaja dibangkitkan pemimpin PAS itu sebelum menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Adakah kerana tamak kuasa akibat pilihan raya negeri, kita sanggup mengorbankan prinsip undang-undang dan Perlembagaan?

“Sebab itu saya akan membenarkan sepenuhnya Peguam Negara mengambil tindakan sewajarnya,” tegas beliau.

Muhammad Sanusi pada Isnin lalu mengeluarkan kenyataan mendakwa Pulau Pinang berada di bawah hak milik Kedah.

Malah beliau turut menyatakan kesediaan untuk bersemuka di mahkamah bagi mempertahankan hujahnya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram