'Semua orang tahu siapa JDT', Tomi enggan pemain TFC tertekan misi tundukkan Harimau Selatan


  • Podium
  • Khamis, 08 Jun 2023

Harimau Selatan akan berkunjung ke SMAZA pada Jumaat ini bagi aksi Liga Super. — Facebook/JDT

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner, mengakui skuadnya tidak merasai sebarang tekanan untuk berdepan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) pada Jumaat.

Pengendali berusia 57 tahun itu berkata, pasukannya tetap menjalani latihan seperti biasa, bagi melayan kunjungan skuad gergasi bola sepak negara di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA), itu nanti.

Bagaimanapun pada masa sama, dia mengharapkan peminat TFC untuk datang dan membanjiri stadium, bagi memberi sokongan dan menaikkan semangat skuad Penyu ketika berdepan skuad Harimau Selatan itu.

"Semua orang tahu siapa JDT... Musim ini mereka belum kehilangan sebarang mata dan hanya memboloskan satu gol dalam Liga Super.

"Tetapi kami bersedia seperti biasa. Saya tidak mahu pemain saya tertekan kerana lawan kami merupakan kelab yang amat baik di Malaysia. Kami akan lihat apa yang kami boleh lakukan ketika perlawanan,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus, Terengganu.

WhatsApp Image 2023-06-08 at 18.26.40

Pemain skuad Penyu pada sesi latihan di Kompleks Sukan Gong Badak di Kuala Nerus. — Facebook/TFC

Steinbruckner berkata, pasukan bakal kehilangan beberapa tonggak utama termasuk pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi yang tidak diturunkan pada aksi itu kerana syarat pinjaman yang dipersetujui antara TFC dengan JDT.

Justeru dia terpaksa memikirkan calon pengganti yang akan mengisi posisi Liridon di bahagian tengah itu nanti.

"Liridon tidak boleh bermain kerana disebabkan syarat pinjaman... dia juga ada tiga kad kuning, saya akan tukarkan dia dengan Pusic atau pemain lain, tetapi kita lihat bagaimana,” katanya.

Selain Liridon, Syafiq Ismail dan Sardor Kalmatov, yang menjadi tonggak pertahanan utama TFC juga tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang skuad Harimau Selatan, akibat masalah kecederaan. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram