Remaja bawah umur rupanya, suspek belasah gelandangan di Klang ada rekod jenayah


  • 112
  • Isnin, 05 Jun 2023

Tangkap layar seorang lelaki dipercayai gelandangan dipukul menggunakan kayu besbol oleh suspek yang menaiki kereta di Pelabuhan Klang, Selangor pada Sabtu.

SEKUMPULAN remaja yang memukul dan membelasah beberapa individu gelandangan di sekitar kawasan berhampiran pasar raya Billion, Pelabuhan Klang, Selangor pada Sabtu telah ditahan oleh polis kira-kira pukul 3 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan setelah mengesan dua video tular memaparkan empat suspek disyaki warga tempatan menaiki sebuah kereta Proton Wira dan memukul lelaki dipercayai gelandangan menggunakan kayu besbol.

Menurutnya, bertindak daripada maklumat berkenaan, pihak polis membuat tangkapan terhadap tiga remaja berusia 16 tahun di sekitar Klang.

"Seorang suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala dua lagi suspek tidak ada sebarang rekod jenayah.

"Pihak polis turut merampas tiga telefon bimbit dan sebuah kereta untuk membantu siasatan.

"Seorang suspek yang masih bebas sedang dikesan," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Majoriti pada Sabtu turut melaporkan kelakuan kasar itu dipercayai turut dilakukan di beberapa buah kawasan lain yang memaparkan beberapa lagi individu disyaki gelandangan mengalami nasib sama apabila dipukul tanpa belas kasihan oleh suspek.

Dirakamkan sendiri oleh si pelaku, rakaman terbabit tular di media sosial dan menerima lebih 30,000 jumlah tontonan yang rata-rata mengecam perbuatan kumpulan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram