AFC buat ‘throwback’ JDT juara Piala AFC 2015, tapi Aidil dan Kunalan tiba-tiba 'hilang'


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Pemain-pemain JDT meraikan kejayaan merangkul Piala AFC 2015. — Agensi

WALAUPUN pasukan Johor Darul Takzim (JDT) seringkali dicemburui oleh penyokong bola sepak kerana kejayaan mereka dalam dan luar padang di Liga Malaysia serta menjadi juara Liga Super sejak 2014.

Pada masa sama, penyokong bola sepak negara semestinya tak akan lupa akan kejayaan JDT yang menjuarai Piala AFC pada 2015 sekali gus menjadi pasukan pertama dari Asia Tenggara memenangi kejohanan tersebut.

Jaringan tunggal pemain import dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22 sudah cukup bagi skuad Harimau Selatan menundukkan juara bertahan Liga Tajikistan, Istiklol FC pada aksi final di Stadium Republican Central di Dushanbe, Tajikistan pada 31 Oktober 2015.

Sudah hampir lapan tahun kejayaan JDT itu berlalu namun Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam Facebook melakukan 'throwback' kepada skuad kesebelasan utama JDT pada perlawanan tersebut.

Walaupun AFC memberikan pengiktirafan kepada kejayaan tersebut, tetapi terdapat kesalahan fakta dalam gambar yang dimuat naik kerana mereka hanya membiarkan Farizal Marlias, Syafiq Rahim serta Leandro Velazquez mempunyai warna manakala Aidil Zafuan dan S.Kunalan diwarnai hitam putih.

Ia kerana dua pemain senior JDT itu masih berada di dalam pasukan meskipun jarang diturunkan oleh pengendali Harimau Selatan, Esteban Solari.

Gambar yang dimuat naik oleh AFC pada Rabu. Facebook/AFC

Gambar yang dimuat naik oleh AFC juga mendapat perhatian penyokong-penyokong bola sepak dengan menjelaskan status terkini bekas dua pemain kebangsaan itu.

"Pemain jersi nombor tujuh (Aidil Zafuan) dan jersi 12 (S.Kunalan) masih ada dalam pasukan JDT," kata Matt Adil.

"Aidil Zafuan masih ada dalam pasukan, AFC tolong betulkan fakta anda," ujar Emir Anuwar.

"Beberapa yang lain masih dalam pasukan, tetapi bukan sebagai kesebelasan utama, Farizal kini banyak menghabiskan masa di bangku simpanan," jelas Reza Pahlavi Aidi.

Perlawanan akhir Piala AFC 2022 antara KL City dan Al-Sebb di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Untuk rekod, bukan JDT sahaja yang pernah mara ke peringkat final Piala AFC, malah Kuala Lumpur City FC juga berjaya sampai ke pusingan akhir kejohanan pada musim lepas.

Namun, KL City terpaksa akur dengan kehebatan kelab dari Oman, Al-Sebb apabila mereka tewas dengan keputusan 0-3 sekali gus terlepas untuk menjadi pasukan kedua dari Asia Tenggara yang memenangi kejohanan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram