Indonesia 'friendly' dengan Argentina tapi nama JDT pula kena dipetik


  • Podium
  • Rabu, 24 Mei 2023

Pemain-pemain JDT. — Facebook/JDT

SELEPAS beberapa lama, akhirnya aksi persahabatan yang dicanang penyokong negara jiran, Indonesia dan juara Piala Dunia 2022, Argentina menjadi kenyataan.

Ini selepas Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA) mengumumkan dua aksi persahabatan yang diadakan dalam kalendar antarabangsa FIFA pada Jun ini.

Sebaik dua perlawanan tersebut diumumkan di laman media sosial, ramai penyokong Indonesia teruja dengan prospek legenda Argentina, Lionel Messi beraksi di Indonesia.

Malah, ada yang berharap pasukan kebangsaan yang diketuai kapten Johor Darul Takzim (JDT), Jordi Amat mampu beraksi cemerlang dalam perlawanan itu nanti.

Manakala skuad kebangsaan pula akan menerima kunjungan Kepulauan Solomon yang menghuni ranking ke-134 dunia pada 15 Jun dan diikuti aksi menentang Yemen (ke-157) pada 20 Jun.

Pasukan Argentina memenangi Piala Dunia 2022. Agensi

Dua aksi persahabatan antarabangsa melibatkan skuad Harimau Malaya itu akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu pada Jun ini.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu sebelum ini mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor menyaksikan mereka mencatatkan kemenangan 1-0 dan 2-0 masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.

Ternyata pertemuan Argentina dan Indonesia itu menimbulkan rasa cemburu dalam kalangan penyokong Harimau Malaya apabila skuad kendalian Shin Tae-yong itu mempersiapkan pasukan dengan baik menjelang kejohanan Piala Asia 2023 pada Januari tahun depan.

Messi bakal jadi pemain tumpuan menentang Indonesia. Agensi

Paling menarik, nama JDT pula antara yang dipetik oleh penyokong bola sepak tempatan kerana dikatakan tidak mampu menarik perhatian negara-negara besar untuk datang ke Malaysia.

"JDT dah dikenali satu dunia pun Argentina masih lagi tak nak lawan dengan Malaysia, pelik aku," kata Pendita Alam.

"Bagus ini, Jordi Amat tambah pengalaman lawan 'world class player' sebelum game ACL, 'good news' untuk team JDT," jelas Khairul Faizi Omar.

"Macam mana mereka boleh jumpa Argentina? Tak cemburu cuma pelik sebab kita ini nak jumpa ranking tinggi pun mereka tolak," luah Fiq Nabil

Sebelum ini, anak-anak buah Kim Pan-gon diundi bersama Korea Selatan, Bahrain dan Jordan dalam saingan peringkat Kumpulan E Piala Asia yang bakal berlangsung awal tahun depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram