Kelab amatur bawa bekas Pengarah Pembangunan Espanyol, beri tamparan pasukan Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 18 Mei 2023

Riera (kanan) bergambar bersama bintang Brazil, Philippe Coutinho (kiri). — Agensi

KELAB komuniti terkenal di Terengganu, Kerteh FC terus mengambil langkah proaktif dalam meningkatkan kualiti dari pelbagai aspek apabila melantik Oscar Riera sebagai Penasihat Teknikal pasukan tersebut.

Riera datang dengan reputasi hebat kerana dia merupakan bekas Pengarah Pembangunan bagi kelab La Liga, RCD Espayol.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan laman Facebook rasmi Kerteh FC, Riera telah mencipta dan mengurus jabatan antarabangsa RCD Espanyol serta dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 26 akademi dengan lebih daripada 8000 pemain di seluruh dunia (Eropah, Afrika, UAE dan Amerika Selatan).

Riera juga merupakan anak kepada Julian Riera iaitu kapten pasukan kebangsaan Sepanyol dan RCD Espanyol pada era tahun 60-an.

Bersama Kerteh FC, Riera akan membantu Pengarah Teknikal pasukan, Che Ku Marzuki dalam menyediakan program pembangunan belia bagi membuka peluang buat pemain pasukan tersebut untuk memulakan karier profesional di Eropah.

FwZKnWaaQAU4S5J

Riera dilantik sebagai Penasihat Teknikal Kerteh FC. — Facebook/Kerteh FC

Kehadiran Riera ke dalam kelab amatur seperti Kerteh FC yang mempunyai pengalaman luas dalam dunia bola sepak Eropah memberi tamparan buat pasukan-pasukan Liga Super yang kerap kali kembali dengan isu tunggakan gaji.

Malah peminat bola sepak tempatan turut memuji langkah yang diambil pihak pengurusan Kerteh FC meskipun tidak bersaing dalam Liga Malaysia dan bukan berstatus kelab profesional.

"Terbaik sungguh Kerteh FC, nampak macam boleh pergi lebih jauh, cuma perlu kumpulkan penyokong sahaja, dah macam kelab luar negara," kata Che M Saufi.

"Malulah kelab Liga Super balik-balik masalah gaji sahaja," luah Krysztof Rahn.

"Kelab sekecil Kerteh FC mampu buat macam ini, malulah team Liga Super," Muhd Widad.

Sebelum ini Kerteh FC juga diberikan mandat oleh Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) untuk membangunkan Kerteh Sports City (KSC).

Dibangunkan menerusi entiti bernama Kerteh Sports City Sendirian Berhad (KSCSB), mereka diberikan tugas untuk membangunkan bandar sukan tersebut yang bukan sahaja meliputi bola sepak, tetapi sukan-sukan lain juga.

Malah, terdapat juga perkara-perkara lain yang bakal diuruskan KSCSB seperti hal-hal biaya kos pembangunan dan operasi projek, pembinaan fasiliti dan pengurusan aset. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram