Kejayaan legenda Jepun bersama Kemboja jadi harapan masa depan skuad B-22


  • Podium
  • Sabtu, 13 Mei 2023

Penyingkiran skuad B-22 negara daripada Sukan SEA 2023 menimbulkan pelbagai persoalan. — Facebook/FAM

MASA depan ketua jurulatih skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara, E Elavarasan menjadi topik perbualan hangat berikutan penyingkiran pasukan itu daripada temasya Sukan SEA 2023.

Ia berikutan dua kekalahan yang dialami kepada Thailand dan Vietnam sehingga menyebabkan pasukan berkenaan terpaksa akur dengan kutipan enam mata daripada empat perlawanan.

Kehampaan itu menyaksikan wakil negara dalam kategori berkenaan gagal untuk meraih sebarang pingat dalam tiga edisi berturut-turut.

Jadi, dengan harapan menggunung daripada penyokong bola sepak tanah air sepanjang kempen tersebut, tidak timbul apa-apa keraguan mengenai tekanan yang dihadapi Elavarasan.

Meskipun mempunyai rekod cukup baik ketika membantu skuad B-22 negara menjulang trofi Piala Merlion, penyingkiran awal daripada Sukan SEA pastinya sukar diterima.

Bagi sesetengah pihak, skuad negara dilihat tidak mempunyai perancangan jelas di atas padang sehingga memudahkan lawan mengekspolitasi kelemahan pasukan.

344801167_772185874453401_3148860992576021865_n

Elavarasan berdepan tekanan daripada penyokong bola sepak tanah air. Facebook/FAM

Oleh itu, tidak hairanlah apabila rata-rata pandangan daripada pengguna media sosial mengharapkan agar pengendali berusia 61 tahun itu digantikan.

Persoalannya, siapakah yang mempunyai kebolehan untuk membimbing sebuah pasukan muda sementara melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam dunia bola sepak?

Sebelum ini, nama pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC, Nafuzi Zain dan pembantu jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil merupakan antara yang dipetik berdasarkan kebolehan mereka dalam bidang berkenaan.

Namun, bagi pengguna Instagram, @malaysiafootballleague, bekas pengarah teknikal Persatuan Bola Sepak Kemboja (FFC), Keisuke Honda merupakan antara calon terbaik.

Bekas pemain yang juga boleh dianggap sebagai legenda skuad kebangsaan Jepun itu dikatakan mempunyai perancangan cukup baik, lebih-lebih lagi dalam mengembangkan bakat-bakat baharu.

Dalam satu hantaran di Instagram, penyokong bola sepak itu mengatakan kehadiran Honda bersama pasukan Asia Tenggara berkenaan membuahkan hasil yang cukup menarik.

kei-1671781066-3055-1671781082-5295-5227-1671782103

Honda mempunyai kaliber sebagai seorang pengendali skuad simpanan. Agensi

"Kontrak Honda baru sahaja tamat bersama Kemboja. Keisuke Honda berjaya tingkatkan kualiti bola sepak Kemboja dalam masa lima tahun. Gaya permainan mereka pun sangat berbeza sekarang," katanya.

Sejak menamatkan tempoh permainannya, dia yang kini berusia 36 tahun menceburi bidang kejurulatihan selepas dilantik sebagai pengurus skuad Angkor Warriors.

Kini, dengan masa depannya masih belum dimuktamadkan, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dinasihati agar mendapatkan khidmatnya demi kebangkitan pemain remaja.

Pandangan pengguna Instagram tersebut meraih pandangan cukup baik daripada rata-rata penyokong skuad kebangsaan yang amat mengalu-alukan bekas pemain AC Milan itu.

"Honda ambil alih Kemboja pada 2018 dengan ketika itu, pemain terbaik mereka adalah Chan Vathanaka sahaja. Sekarang, dia dah kembangkan bakat-bakat baharu seperti Lim Pisoth, Seang Chantea dan Tes Sambath.

"Bayangkan Cambodia yang ada peluang untuk kembangkan bakat kecil pun dia boleh bantu, apatah lagi Malaysia yang lebih besar dan berkualiti," kata @nizamroslam.

"Bagi aku, bagus cadangan ni. Kita tengok dia bawa Kemboja macam mana? Cara permainan Kemboja memang banyak tunjukkan perubahan," kata @_fairus_93.

"Pada saya, boleh sangat-sangat untuk dia dijadikan jurulatih B-22 negara. Jurulatih dari Jepun atau Korea sememangnya tegas dalam hal latihan pemain muda," kata @mirul_nii.

Sebelum ini, ura-ura juga mengatakan Honda terbuka untuk membuka sayap kejurulatihannya di Malaysia selepas dia pernah melawat fasiliti latihan Selangor FC.

Jadi, dengan masa depan samar untuk kedua-dua pihak, adakah FAM akan melakukan langkah tersebut selepas Honda membuktikan kebolehannya sebagai pengendali. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram