SEPANJANG musim lalu, Johor Darul Takzim (JDT) tidak mencatatkan sebarang kekalahan dalam kesemua kejohanan di peringkat domestik.
Ia sememangnya satu rekod yang sukar untuk diulangi mana-mana pasukan Liga Super memandangkan terdapat jurang yang amat besar antara mereka dan kelab Selatan tanah air itu.
Bagaimanapun, pencapaian itu masih sukar untuk dicatatkan dalam Liga Juara-juara AFC (ACL) memandangkan JDT boleh dianggap terlalu awal untuk menjadi gergasi di benua Asia.
Meskipun sudah beberapa tahun melayakkan diri, skuad Harimau Selatan masih sedang mencari formula terbaik untuk meletakkan mereka sebagai gergasi di mata dunia.
Tekanan pada awalnya dirasai dengan pasukan berkenaan berdepan ujian getir selepas diletakkan dalam kumpulan yang mengandungi dua bekas juara ACL, Guangzhou Evegrande dan Ulsan Hyundai.
Namun, dengan kualiti serta ketabahan yang dimiliki JDT, mereka berjaya mencipta sejarah apabila layak ke peringkat kalah mati selepas menamatkan saingan kumpulan dengan hanya satu kekalahan.
Perkara itu boleh dikatakan sebagai bukti pembangunan yang dibuat pihak pengurusan, terutamanya pemilik kelab, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim membuahkan hasil.
Tetapi, harapan mereka untuk terus mara dalam kejohanan terunggul di pentas Asia itu terhenti di peringkat 16 pasukan di tangan wakil Jepun, Urawa Red Diamonds.
JDT terpaksa akur dengan keunggulan Urawa Red Diamonds sebelum ini. — AFC
Kekalahan 0-5 yang direkodkan semasa pertembungan di Stadium Saitama 2002, Jepun merupakan satu kenangan pahit dan manis, lebih-lebih lagi kepada penyokong JDT.
Jadi, dengan impian mereka untuk menjadi juara ACL pertama dari rantau Asia Tenggara sudah lebur, fokus semestinya lebih diberikan kepada liga tempatan.
Bagaimanapun, baru-baru ini, pertandingan itu sekali lagi menjadi bahan bualan peminat bola sepak tanah air apabila Urawa Red Diamonds muncul sebagai juara edisi tahun 2022.
Kemenangan dengan agregat 2-1 ke atas wakil Arab Saudi, Al-Hilal memastikan mereka mengungguli kejohanan berkenaan buat kali ketiga dalam sejarah mereka.
Pencapaian itu sememangnya cukup membanggakan buat Urawa Red Diamonds walaupun status mereka sebagai gergasi di Zon Asia Barat tidak boleh dipertikaikan.
Namun, di sebalik kemeriahan itu, penyokong JDT juga sempat terlibat dengan sambutan itu memandangkan kelab mereka tewas di tangan juara ACL 2022.
Dalam satu hantaran pengguna Facebook dengan nama Apandi Yusof, ucapan tahniah diberikan kepada juara lima kali Liga 1 Jepun itu.
"Tahniah Urawa Red Diamonds," tulisnya ringkas sambil menyertakan poster membuktikan Urawa Red Diamonds merupakan pemenang dalam kejohanan berkenaan.
Seperti mana yang dijangka, ruangan komen dipenuhi beberapa ucapan penghargaan kepada kelab itu sambil mengatakan bahawa JDT mempunyai pengalaman yang cukup baik ketika menentang mereka Ogos lalu.
"JDT tewas kepada pasukan yang akhirnya muncul sebagai juara ACL. Tiada apa yang salah melainkan kata-kata yang cuba menjatuhkan," kata Nasruddin Khamis.
"Memang tidak sia-sia buat JDT untuk timba pengalaman dengan Urawa Red Diamonds, pemenang ACL tu," kata Brian Okoner.
"JDT tewas di peringkat antarabangsa. Pada saya, memang banyak memberi pengalaman yang cukup berguna," kata Haris Lajis.
Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu mempunyai peluang untuk sekali lagi mencipta nama apabila layak ke pentas ACL musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,