
CUTI Hari Raya tidak mendatangkan masalah buat Kedah Darul Aman (KDA) FC apabila menang tipis 2-1 ke atas pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Jumaat.
Aksi ke-10 Liga Super tersebut adalah perlawanan pertama buat kedua-dua pasukan selepas Liga Malaysia (Liga M) berehat hampir seminggu untuk sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri.
Pasukan pelawat berjaya mengejutkan skuad Jang Hobin Jang pada minit ke-30 menerusi tandukan dari penyerang import, Willian Lira selepas dihantar oleh sepakan penjuru Manuel Hidalgo.
Namun lima minit kemudian, jaringan dari tonggak pertahanan, Zainal Abidin yang dihasilkan menerusi sepakan percuma Tommy Mawat membantu NSFC mengikat KDA FC kedudukan 1-1.
Lira menjadi wira pasukan KDA FC dalam aksi ke-10 Liga Super malam ini. — Facebook/KDAFC
Bersambung pada babak kedua, Sang Kenari dilihat lebih banyak melakukan percubaan dan usaha anak-anak buah Nafuzi Zain berhasil apabila tandukan Lira memasuki gawang Sikh Izhan pada minit ke-72.
Dengan dua gol yang diperoleh Lira pada perlawanan itu sudah mengesahkan tiga mata milik KDA FC dan nama tonggak import Brazil tersebut terus bergema di Paroi.
Rata-rata penyokong KDA FC sudah mula jatuh cinta dengan persembahan mengagumkan dari pemain berusia 29 tahun itu meskipun sebelum ini ramai mendesak agar khidmatnya tidak diteruskan.
“Lira dah panas enjin, mungkin dia dah dapat lemang dan ketupat yang sesuai untuk dia,” komen penyokong KDA FC, Muhammad Aiman.
“Aura samba dah datang,” tambah seorang lagi penyokong yang gembira Lira mula menemui rentaknya.
“Bukti Lira itu bagus, banyak dorongan dekat dia. Sekarang ini yang masalah bahagian tengah,” kata Abamm Lifeafter.
Dengan kemenangan itu, Kedah berjaya ke kedudukan kelima Liga Super dengan kutipan 19 mata manakala skuad Jang Hobin Jang pula berada di tangga kesembilan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram