Menjelang aksi bertemu Sabah FC, fans Gergasi Merah gusar tempang tanpa 3 pemain utama ke skuad Sukan SEA


  • Podium
  • Rabu, 19 Apr 2023

Dari kiri: Mukhairi, Ruventhiran dan Harith merupakan pemain berada dalam skuad utama Selangor FC. — Facebook/SelangorFC

MENJELANG berlangsungnya kejohanan Sukan SEA Kemboja 2023, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan senarai 25 pemain dipanggil bagi menyertai kem latihan pusat skuad Bawah 22 Tahun (B-22) negara.

Daripada senarai tersebut, Selangor FC menjadi pasukan dengan pemain paling ramai dipanggil iaitu sebanyak tujuh orang diikuti Terengganu FC (lima), Johor Darul Takzim 2 (empat) dan Kuala Lumpur (KL) City FC (empat).

Tiga lagi pemain menyertai skuad tersebut adalah daripada Kedah Darul Aman (KDA) FC dan dua daripada Negeri Sembilan FC.

Dengan aksi Liga Malaysia yang sedang berlangsung kini, panggilan untuk latihan persediaan itu pastinya menimbulkan sedikit rasa tidak senang dalam kalangan penyokong kelab yang bersaing.

Apatah lagi, kejohanan temasya dwi-tahunan itu berada di luar kalendar Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Sebelum ini, terdapat beberapa pasukan kelab Liga M tidak memberikan pelepasan kepada pemain menyertai skuad kebangsaan disebabkan isu kejohanan berlangsung di luar jadual ditetapkan badan bola sepak antarabangsa itu.

Created with RNI Films app. Profile 'Agfacolor 40's'

Mukhairi (kiri) ketika aksi menentang Sri Pahang FC pada Sabtu lalu. — Facebook/SelangorFC

Sehubungan itu, ada penyokong melahirkan kerisauan terhadap tindakan kelab melepaskan pemain terutamanya mereka berada dalam skuad utama bagi menyertai sesi latihan temasya terbabit.

Antara mula menimbulkan mengenai isu itu adalah peminat kelab Gergasi Merah, iaitu pasukan menyumbang jumlah pemain terbanyak bagi panggilan kali ini.

Daripada tujuh yang dipanggil itu, tiga daripadanya adalah pemain skuad utama iaitu Mukhairi Ajmal, Ruventhiran dan Harith Haiqal dengan Mukhairi merupakan pemain tonggak kesebelasan utama pasukan.

"Ramai betul dapat panggilan ya. Memang betul-betul mesin ni. Fikir baik-baik pengurusan Selangor FC. Memang dapat panggilan itu itu satu kebanggaan, tapi kena ada strategi," ujar Zuraini Safian Suri.

"Bukan dalam kalendar FIFA kenapa lepaskan Mukhairi Ajmal, Harith Haikal dan Ruventhiran?" soal Nashrick Nasir.

"Key player jangan la dilepaskan wahai Selangor FC. Kan ada perlawanan penting penting 27 hari bulan nanti," ujar Andika Tirana.

Selepas berehat daripada cuti Aidilfitri, Selangor akan kembali memulakan aksi Liga Super dengan menentang pesaing utama di kelompok teratas iaitu Sabah FC pada 27 April depan.

Bagi panggilan kem latihan pusat kali ini, ia dibahagikan kepada dua fasa dengan Fasa 1 menetapkan kesemua pemain melaporkan diri bermula Rabu untuk sesi latihan sehingga Jumaat.

SFC 4

Selangor FC akan menentang Sabah FC 27 April nanti. — Facebook/SelangorFC

Pemain akan diberi cuti Hari Raya Aidilfitri selama dua hari pada 22 dan 23 April sebelum perlu melapor diri secara berperingkat untuk kem latihan pusat Fasa 2 bermula 24 April depan.

Penyertaan itu bagaimanapun bergantung kepada penglibatan mereka dalam perlawanan Liga Super bersama kelab masing-masing pada minggu tersebut.

Bagi kejohanan bakal disertai pula, skuad negara dijadual berlepas ke Kemboja pada 2 Mei dan membuka tirai saingan Kumpulan B pada 3 Mei hingga 11 Mei.

Sekiranya pasukan negara berjaya melepasi peringkat kumpulan, mereka akan beraksi di pusingan separuh akhir pada 13 Mei dan aksi final serta penentuan tempat ketiga dan keempat berlangsung pada 16 Mei.

Skuad muda negara disasarkan untuk mara ke final pada Sukan SEA kali ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram