PERMULAAN yang sedikit mengecewakan dalam saingan Liga Super 2023 menyaksikan Kelantan FC terkandas di kedudukan kedua tercorot.
Empat mata yang dikumpul selepas lapan perlawanan pasti bukanlah satu pulangan yang diharapkan pihak pengurusan selepas sudah melakukan pelaburan besar-besaran sebelum ini.
Lebih mengecewakan lagi, isu dalaman yang dibongkarkan pihak luar jelas memberi kesan negatif terhadap moral pemain dan juga beberapa staf kejurulatihan.
Antara kesan yang mula dilihat susulan daripada masalah itu adalah keputusan kelab untuk menamatkan khidmat tiga pemain yang kurang memberi impak buat pasukan.
Carli de Murga dan Christian Rontini yang masing-masing dibawa masuk dari Johor Darul Takzim (JDT) dan Penang FC diharapkan mampu menambah kualiti benteng pertahanan pasukan.
Penyerang kelahiran Batu Pahat, Johor, Shafiq Shaharudin juga sebelum ini disambar untuk menguatkan lagi jentera serangan skuad The Red Warriors (TRW) meskipun kerap beraksi di kelab liga bawahan.
Namun, dengan ketiga-tiga mereka gagal memberi impak seperti yang diharapkan, pihak pengurusan Kelantan FC memilih untuk menamatkan kontrak masing-masing.
Kelantan FC mengumumkan penamatan kontrak Rontini, Shafiq dan de Murga pada Isnin. — Facebook/TRW Kelantan FC
Hal itu pastinya merosakkan lagi moral pemain serta penyokong TRW yang pada awalnya cukup teruja dengan kepulangan kelab berkenaan ke divisyen teratas bola sepak tempatan.
Bagaimanapun, pemilik kelab, Norizam Tukiman mengambil inisiatif tersendiri dengan cuba menghidupkan semula suasana harmoni dalam kelab Pantai Timur itu.
Dalam satu hantaran di Facebook peribadinya, dikhabarkan dua pemain baharu bakal ditandatangani Kelantan FC ketika jendela perpindahan kedua akan datang.
"Terima kasih Tunku Mahkota Johor (TMJ) kerana berkenan menghadiahkan dua ekor kuda sempena hari jadi saya. Saya sangat-sangat bersyukur, teruja dan terharu," tulisnya.
Seperti kebiasaan, terma 'kuda' dalam bola sepak lebih sinonim dengan pemain yang mempunyai kudrat berbeza setiap kali diturunkan di atas padang.
Oleh itu, hantaran yang dibuat Norizam berkenaan sepertinya mengatakan skuad TRW bakal menerima suntikan dengan kehadiran pemain dari JDT.
Meskipun tidak memberi gambaran mengenai individu-individu terbabit, penyokong sepertinya sudah berjaya mengenal pasti berdasarkan pandangan yang dibuat di ruangan komen.
Sumareh perlu berkelana demi mendapatkan minit permainan musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Antara pemain yang disebut-sebut sebagai rekrut baharu Kelantan FC ialah pemain sayap kebangsaan, Mohamadou Sumareh serta penyerang muda, Ramadhan Saifullah.
Kehadiran kedua-dua pemain itu dilihat diterima dengan tangan terbuka memandangkan skuad TRW masih bergelut di hadapan pintu gol lawan setakat lapan perlawanan.
"JDT tu, cukup bagus dah beri dua orang untuk hadir ke Kelantan FC. Mungkin boleh dipujuk untuk beri dua lagi, mana tahu boleh tingkatkan permainan pasukan," ujar Mohamad Fitri.
"Ambil sahaja kedua-dua mereka itu, tidak perlu terlalu mengikut nafsu. Sekarang ini pun, tiada penyerang yang cukup baik kerana kita masih mengharapkan Nuha (Marong)," kata Muhammad Effifuddin.
"Sebenaranya situasi ni memberikan kelebihan kepada kedua-dua pihak kerana pemain JDT dapat minit permainan sementara Kelantan FC dapat pemain berkualiti," kata Hairul Azwan.
Setakat ini, Ramadhan dan Sumareh masih belum beraksi dalam Liga Super, namun diberi peluang ketika JDT menang ke atas PDRM FC dalam saingan Piala FA Jumaat lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram