Dikhabarkan sertai Tok Gajah, fans risau Safawi lemau, tak semantap ketika bersama 'kekasih lama'


  • Podium
  • Selasa, 18 Apr 2023

Masa depan Safawi masih menjadi tanda tanya. — Facebook/Ratchaburi FC

HARI demi hari, suhu perbualan tentang pemain sensasi kebangsaan, Muhammad Safawi Rasid yang kononnya bakal meninggalkan Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC dalam masa terdekat terus meningkat sama seperti cuaca panas di tanah air pada saat ini.

Lebih menarik lagi, khabarnya anak kelahiran Dungun, Terengganu itu bakal dipindahkan ke pasukan Sri Pahang bagi menguatkan skuad Pantai Timur itu.

Walaupun desas-desus itu masih belum dipastikan kesahihannya, penampilan pemain berumur 26 tahun dalam skuad Tok Gajah itu pastinya menjadi batu loncatan kepada pasukan tersebut untuk terus mara dalam LIga Super 2023.

Namun di sebalik pelbagai reaksi oleh peminat pasukan Pantai Timur tentang khabar angin tersebut, ada bibit-bibit kerisauan terhadap prestasi Safawi yang bakal menemui nasib sama seperti tiga pemain Johor Darul Takzim (JDT) yang dipinjamkan kepada pasukan tersebut pada musim ini.

Mereka adalah penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan, pemain pertahanan, Azrif Nasrulhaq serta Syazwan Andik Ishak, manakala pemain pertahanan Sri Pahang FC, Fadhli Shas juga menyertai mereka bertiga secara kontrak selama dua tahun selepas lapan musim bersama skuad Harimau Selatan itu.

Seorang pemerhati bola sepak mendakwa prestasi ketiga-tiga pemain dari JDT itu semakin merudum selepas menyertai skuad Tok Gajah itu, lantas menimbulkan kerisauan jika Safawi mengikut acuan yang sama.

341629384_713617293875915_6499276116196458254_n

Aksi Sri Pahang FC semasa sesi latihan sebelum menentang Kuching City FC pada Selasa di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak. — Facebook/Sri Pahang FC

"Tapi kebanyakan pemain yang dilepaskan (dari JDT), prestasi mereka sudah menurun serta tidak selincah seperti dulu.

"Sebagai contoh, Izham Tarmizi, Syazwan Andik, Fadhli Shas semuanya dilihat sudah merudum prestasi mereka," kata Ahmadseahbani Bin Saari.

Lebih membimbangkan, walaupun tampil dalam 11 perlawanan dalam saingan Liga 1 Thailand bersama skuad The Dragons, Safawi cuma menjaringkan satu gol yang sebenarnya bukan satu rekod yang memuaskan sebagai seorang pemain sayap kanan pasukannya.

Bagaimanapun, masih ada peminat Sri Pahang sentiasa menerima kemasukan Safawi ke skuad kesayangan meskipun terpaksa membeli pemain itu pada harga yang tinggi.

"Alhamdulillah, kalau dapat main bersama Sri Pahang. Mahal pun tiada jadi masalah.

"Yang penting, mahal untuk rakyat Malaysia juga dan boleh dapat hasil serta hantaran yang terbaik untuk serangan nanti," kata Man Kanopi Kuantan.

"Baguslah masuk team Pahang Pantai Timur, jangan lesu yang ada itu sudah jadi ayam berak kapur semua," kata Pak Long Sulong. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram